Siakap Keli

5 Murai Batu & 1 Burung Hantu Dirampas, Seorang Lelaki Ditahan Miliki Hidupan Liar Dilindungi Tanpa Permit

Sebanyak lima ekor burung murai batu dan seekor burung hantu dirampas oleh penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN).

Menurut satu kenyataan PERHILITAN hari ini, rampasan tersebut dijalankan sejurus satu pemeriksan ke atas sebuah premis pertanian dan premis kediaman di Segamat, Johor dibuat pada 5 Mei lalu.

Difahamkan, ketika serbuan dijalankan, didapati kesemua burung tersebut diletakkan di dalam sangkar secara berasingan.

Lima ekor burung murai batu diletakkan di dalam sangkar yang berasingan. Gambar: PERHILITAN

“Seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki hidupan liar tanpa lesen dan permit khas yang sah daripada Jabatan PERHILITAN.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” jelas kenyataan tersebut.

Susulan itu, orang awam sama ada warga tempatan mahupun asing diberi amaran keras sekiranya didapati menyimpan dan memiliki hidupan liar tanpa kebenaran jabatan tersebut.

Seekor burung hantu jenis Oriental Bay Owl yang turut dirampas dalam serbuan tersebut. Gambar: PERHILITAN

Berikut adalah petikan daripada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) seperti yang termaktub;

Seksyen 60, memburu dan sebagainya hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen

Seksyen 68, memburu dan sebagainya hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

 

Sumber: PERHILITAN

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.