Siakap Keli
kanak-kanak jatuh tingkat 12
Kredit: Google

Duka Waktu Berbuka, Kanak-kanak 4 Tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 12 Ketika Ibu Turun Ambil Juadah

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan pada kira-kira pukul 6.45 petang daripada seorang pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang semasa bapa kanak-kanak itu tiada di rumah, manakala ibunya pula turun ke bawah bangunan untuk mengambil juadah berbuka puasa.

“Setelah kembali ke rumah, ibu kanak-kanak itu mendapati pintu di balkoni telah terbuka dan kanak-kanak itu didapati terjatuh di tingkat tiga kondominium itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu merupakan anak pertama daripada dua beradik, ditinggalkan bermain telefon bersama adiknya yang berumur tujuh bulan di dalam bilik yang tidak berkunci, dan selepas dibawa ke Hospital Ampang dengan ambulans, doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia pada pukul 7.33 malam.

Noor Azmi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan, dan siasatan awal mendapati kanak-kanak itu tidak memiliki sijil kelahiran ataupun Mykid.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak itu juga didapati tidak memiliki dokumen pernikahan yang sah kerana mereka berkahwin di Thailand, dan menurutnya bapa kanak-kanak itu berumur 51 tahun, bekerja sendiri, manakala ibunya yang berumur 27 tahun merupakan suri rumah.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.