Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ingkar PKP: Dua Lelaki Mahu Hantar Susu, Ambil Air, Didenda RM600

Dua lelaki masing-masing didenda RM600 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman itu selepas seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas kedua-dua tertuduh.

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman denda minimum atas alasan dia penanggung utama keluarga dan memberitahu mahkamah dia keluar rumah untuk menghantar susu serta lampin pakai buang ke rumah ibunya.

Peguam P. Suthes yang mewakili lelaki warga Bangladesh itu memohon hukuman ringan berbentuk denda dan memberitahu mahkamah anak guamnya keluar rumah untuk mengambil air bertapis.

Mereka membayar denda tersebut.

Lelaki berusia 23 tahun itu didakwa bergerak dari PPR Seri Semarak ke Jalan Air Keroh, Setapak yang merupakan dalam kawasan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, di Wangsa Maju, di sini, pada 10.35  malam, 3 Mei lepas.

Lelaki warga bangladesh itu pula didakwa telah bergerak dari rumahnya di Lot kedai di Jalan Imbi ke kaki lima hadapan sebuah restoran, di Jalan Barat Off Jalan Imbi tanpa tujuan munasabah di bawah Peraturan sama di sini, 9 malam, 19 April lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Di Mahkamah Majistret Selayang,  seorang wanita didenda RM600 atau penjara 20 hari kerana keluar dari rumah untuk menghantar makanan kepada ahli keluarganya di kawasan yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas wanita berumur 23 tahun itu selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan yang munasabah  di Kawasan PKPD C3 Zon C Selayang Baru, Gombak di sini pada 3.45 petang, 9 Mei lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni manakala peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsan (YBGK) mewakili wanita itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right