Siakap Keli

Juruterbang Wanita Maut, Pesawat Bawa Ujian Pengesanan Covid-19 Ke Indonesia Terhempas

Seorang juruterbang Amerika maut apabila pesawat yang dibawanya tidak berfungsi  semasa dalam perjalanan untuk menghantar alat ujian pengesanan Covid-19 atau ‘rapid test kit’ di sebuah kampung terpencil di Indonesia, menurut satu kenyataan.

Mangsa, Joyce Lin, berusia 40 tahun yang juga pakar teknologi maklumat yang berkhidmat di Mission Aviation Fellowship (MAF), dilaporkan baru sahaja berlepas pada Selasa pagi dari Lapangan Terbang di Sentani, daerah Papua dengan membawa pesawat Kodiak.

Difahamkan, beliau dalam percubaan terbang ke Mamit, di dataran tinggi Papua, bagi membawa peralatan ujian ke klinik tempatan.

Namun, selepas beberapa minit berlepas dari landasan, dia melaporkan kecemasan sebelum pesawat terhempas ke Tasik Sentani.

Pasukan penyelamat terdiri daripada penyelam mengesahkan bahawa Joyce yang berada bersendirian di dalam pesawat tidak dapat diselamatkan.

Menurut MAF, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Joyce telah bekerja di Indonesia selama dua tahun dan menyertai MAF selepas lebih dari satu dekad bekerja sebagai pakar komputer.

Sumber: CNN

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.