Siakap Keli
peruntukan muallaf
Kredit: MAIPs/Bernama

MAIPs Sedia Peruntukan RM100,000 Bantu Muallaf Buat Persiapan Raya

ARAU, 15 Mei (Bernama) — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan RM100,000 bagi membantu golongan muallaf di negeri ini membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor berkata kira-kira 400 muallaf akan menerima sumbangan RM200 tiap seorang sebagai persiapan menyambut Aidilfitri serta menyuntik semangat cintakan Islam.

Beliau berkata penerima sumbangan terdiri daripada saudara baharu yang memeluk agama Islam dalam tempoh lima tahun lepas, dan di Perlis kebanyakan daripada muallaf ini terdiri daripada kaum Cina, India dan juga Siam.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Simbolik Sumbangan Peruntukan Bantuan Muallaf MAIPs 2020 oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs di sini hari ini beliau berkata, MAIPs dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sentiasa mengadakan aktiviti dan program setiap minggu bagi meningkatkan kefahaman golongan muallaf mengenai Islam.

Beliau berkata hari ini MAIPs telah mengedarkan kira-kira 500 risalah informasi Islam di empat masjid utama di Perlis iaitu Masjid al Hussin Kuala Perlis, Masjid Alwi Kangar, Masjid Negeri, Arau dan Masjid Tuanku Syed Putra, Kangar untuk memberi maklumat mengenai ajaran Islam yang harmoni.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis (OCMPs), Muhammad Zamri Vinoth yang menganut Islam sejak tahun 2000 berkata sebagai badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya sentiasa memainkan peranan dalam usaha mendampingi dan menyantuni muallaf.

“OCMPs sentiasa mengambil inisiatif membantu mereka dengan memberi barang keperluan asas lebih-lebih lagi ketika situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat keluar rumah dan hilang mata pencarian, OCMPs menyediakan bungkusan makanan sebagai juadah berbuka bagi keluarga muallaf sepanjang bulan ramadan dalam tempoh PKPB,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.