Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Sarawak, Pulau Pinang Benarkan Solat Jumaat Bersyarat Mulai 22 Mei

KUALA LUMPUR, 15 Mei  — Sarawak dan Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu yang membenarkan solat Jumaat bersyarat diadakan di masjid dan surau Jumaat sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan ia akan bermula 22 Mei ini.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata MIS mengizinkan untuk semua masjid dan surau Jumaat mengadakan solat itu, tetapi berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan iaitu kehadiran sekurang-kurangnya empat orang dan tidak melebihi 12 orang jemaah yang terdiri daripada pegawai masjid serta ahli jawatankuasa masjid.

“Orang awam masih tidak dibenarkan. Saya ingin menekankan di sini bahawa kita masih mengekalkan keputusan gugurnya tuntutan wajib untuk menunaikan solat Jumaat kepada orang awam, sebaliknya diwajibkan menunaikan solat fardu Zohor,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Mufti Sarawak Datuk Kipli Yaasin pula berkata keputusan itu dibuat setelah menimbangkan situasi semasa wabak COVID-19 di seluruh Sarawak dan memperhalusi saranan Kementerian Kesihatan (KKM)  serta demi keselamatan negara dan kepentingan agama Islam.

Bagaimanapun, Mesyuarat khas Lembaga Fatwa Negeri Sarawak yang bersidang pada 11 Mei 2020, telah memutuskan untuk mengekalkan arahan menangguhkan semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Sarawak termasuk solat berjemaah lima waktu, solat sunat terawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pelaksanaan solat Jumaat di negeri itu adalah terhad antara 12 hingga 15 orang jemaah sahaja pada satu-satu masa terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa kariah serta siak di masjid atau surau.

“Kaedah ini hanya terpakai untuk pelaksanaan solat Jumaat semasa tempoh PKPB sahaja dan tidak boleh dipakai pada permohonan mendirikan solat Jumaat bagi tempat-tempat yang tidak mencukupi bilangan 40 orang jemaah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam satu kenyataan di George Town hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan solat Jumaat itu juga hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, Wan Salin berkata semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat berjemaah lima waktu, solat sunat tarawih, solat sunat Aidilfitri, kuliah, ceramah, majlis berbuka puasa, majlis akad nikah dan apa jua aktiviti, ditangguhkan sehingga diisytiharkan keadaan kembali selamat atau mengikut ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan Persekutuan.

Katanya sepanjang tempoh itu azan lima waktu solat fardhu hendaklah diteruskan seperti biasa sebagaimana panduan yang telah diedarkan sebelum ini.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.