Siakap Keli

Sebahagian Besar Orang Asli Kampung Kuala Koh Dan Kampung Aring 5 Pulang Sambut Aidilfitri

GUA MUSANG, 15 Mei — Sebahagian besar daripada lebih 600 penduduk Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 yang “menyelamatkan diri” mereka ke dalam hutan berdekatan kampung mereka ekoran wabak COVID-19 awal Mac lepas sudah kembali ke kampung masing-masing untuk menerima bantuan dan menyambut Aidilfitri.

Penduduk dua kampung berkenaan meninggalkan kampung masing-masing dan berpindah ke dalam hutan berdekatan kerana masih trauma dengan kematian misteri 15 penduduk kampung mereka pada Jun tahun lalu serta khuatir penduduk kampung dijangkiti COVID-19.

Mereka bukan sahaja berpindah ke dalam hutan malah menutup laluan ke kampung itu bagi mengelak kedatangan pihak luar yang dianggap boleh menyebarkan penyakit tersebut.

Namun menjelang Aidilfitri ini, sebahagian besar mereka kini telah pulang ke kampung itu bagi menerima bantuan makanan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan juga badan bukan kerajaan yang lain.

Tok Batin Kampung Kuala Koh, Muhammad Pokok, 40, berkata kini hanya kira-kira 20 orang daripada 233 penduduk kampung itu yang masih berada di hutan berhampiran dan akan pulang pada bila-bila masa sahaja ke kampung itu bagi menyambut hari raya.

“Memang pada awal dulu mereka pindah ke hutan tidak jauh, berhampiran sungai untuk mengelak penyakit ini (COVID-19) tapi sekarang sudah rasa keadaan semakin baik dan sebab itu mereka balik semula ke kampung.

Sekarang ini kami banyak terima sumbangan makanan dan laluan masuk ke kampung pun kami sudah buka untuk orang luar datang ke sini,” katanya kepada pemberita di perkampungan itu di sini, baru-baru ini.

Muhammad berkata penduduk kampung berkenaan masih lagi trauma dengan kejadian kematian misteri pada tahun lepas dan disebabkan itu apabila mendengar penyakit COVID-19 boleh menyebabkan kematian, mereka beramai-ramai masuk ke hutan buat sementara waktu.

“Alhamdulillah sekarang kami dengar keadaan sudah semakin baik dan sebab itu kami balik semula dan kebetulan hari raya sudah dekat dan bantuan pun banyak dapat,” katanya.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang, 49, berkata kini hampir 400 penduduk perkampungan itu juga sudah pulang ke rumah masing-masing sejak pertengahan April lepas dan kembali membuka laluan masuk ke kampung mereka.

Katanya sejak berpindah ke hutan buat sementara, keadaan penduduk kampung adalah baik dan mempunyai makanan yang cukup  sepanjang tempoh itu.

“Dulu kami tutup jalan sekejap melainkan kemasukan agensi kerajaan seperti Jakoa dan MAIK atau yang lain bagi urusan tertentu tetapi bukan kepada penduduk luar yang sengaja mahu masuk,” katanya.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Amran Arifin berkata kemasukan masyarakat itu ke hutan berhampiran adalah tindak balas semula jadi mereka untuk mengelak daripada jangkitan penyakit itu.

Katanya beliau sentiasa bertanya keadaan penduduk melalui penghulu dan tok batin di situ untuk bertanyakan khabar dan dilaporkan keadaan mereka adalah baik.

Beliau berkata bekalan makanan yang diterima penduduk itu jauh mencukupi untuk beberapa bulan termasuk bekalan untuk Aidilfitri ini.

“Alhamdulillah kebajikan mereka tetap terjaga oleh kerajaan dan kita berharap wabak ini tidak akan menjangkiti mereka dan (mereka tidak) terus berada dalam keadaan trauma lagi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah