Siakap Keli

Seramai 111 Pelajar IPT Dari Semenanjung Dikuarantin Di Labuan

LABUAN, 15 Mei — Sebanyak 232 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Semenanjung tiba di Labuan hari ini dengan hampir separuh daripada mereka diarahkan menjalani kuarantin di dua pusat kuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan dan Pusat Giat Mara.

Mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin kebanyakannya datang dari zon kuning dan merah COVID-19 di Semenanjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata kesemua pelajar itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian swab secara rawak oleh Jabatan Kesihatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Labuan kira-kira 12.00 tengah hari tadi.

“Sekurang-kurangnya 48 peratus atau 111 daripada 232 pelajar berkenaan dihantar ke dua pusat kuarantin selepas menjalani penilaian risiko dan prosedur pengambilan sampel, manakala 121 lagi akan dikuarantin di rumah sekurang-kurangnya selama 14 hari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata 95 pelajar dihantar ke Pusat Giat Mara dan 16 orang di ILP.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah