Siakap Keli

Tak Perlu Menitis Air Mata Lagi, Ini 4 Tips Elakkan Mata Pedih Ketika Potong Bawang

Pasti ramai yang sudah tahu, terutamanya golongan wanita, kerja yang paling ‘menyedihkan’ di dapur adalah kupas bawang. Mana tidaknya, apabila kupas atau potong bawang pasti akan ada drama air mata.
Bawang kalau tidak digunakan dalam masakan pasti tidak enak rasanya. Sudahnya terpaksalah hiris dengan lelehan air mata.
Namun ada petua berkesan untuk mengelakkan daripada mata pedih dan berair semasa memotong bawang. Ikuti petua yang dikongsikan oleh Fatimah Salim di laman Facebooknya yang menjelaskan 4 cara untuk elak mata pedih semasa memotong bawang.
Ilmu kimia itu sangat luas dan indah jika kita tergolong dalam orang yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Artikel ini saya dedikasikan kepada rakan-rakan bertuah yang meminta untuk mengulas pasal proses mengupas bawang dan mata pedih/berair .
Mengupas bawang dan pedih mata tidak dapat dipisahkan. Sebenarnya situasi ini bukan saja-saja terjadi. Ianya disebabkan oleh kehadiran gas kimia pemedih mata semulajadi yang dinamakan syn-propanethial S-oxide di dalam bawang. Teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana gas ini terhasil dan mekanisma disebalik mata pedih dan berair semasa memotong bawang ini.
Struktur kimia Syn-propanethial S-oxide
Syn-propanethial S-oxide atau dikenali juga dengan thiocarbonyl-S-oxide (rujuk gambar molekul kimia di bawah) ialah sejenis bahan kimia semulajadi dalam bentuk cecair dari kumpulan organosulfur. Ianya mempunyai tekanan vapor yang tinggi menyebabkannya senang menjadi wap dan terlepas dari bawang semasa proses memotong. Sebenarnya ia merupakan bahan kimia yang digunakan untuk tujuan pertahanan oleh bawang dari serangan kuman dan haiwan.
Bagaimana Syn-propanethial S-oxide terhasil dalam bawang?
Seperti tumbuhan dan haiwan hidup lain, bawang juga terdiri dari banyak sel yang bersatu. Di dalam sel bawang terdapat bahan kimia pencetus yang dipanggil amino acid sulfoxide dan enzyme alliinase yang terpisah dalam ruang masing-masing. Semasa proses memotong bawang, sel akan terpecah menyebabkan dua bahan kimia ini terbebas dari ruang masing-masing dan berinteraksi. Enzyme alliinase memecahkan amino acid sulfoxide membentuk bahan kimia propenesulfenic acid yang kemudiannya diolah oleh enzyme lachrymatory factor synthase (LFS) membentuk bahan kimia syn-propanethial S-oxide.
Syn-propanethial S-oxide ini akan meruap dan terbebas ke udara. Apabila gas ini mencapai mata kita, ianya membuat ikatan dengan tisu mata yang akan mengaktifkan protein yang bertanggungjawab untuk mengesan rasa sakit/pedih lalu menghantar maklumat ke otak. Otak kemudiannya akan mengarahkan lacrimal gland untuk mengeluarkan air mata sebagai tindakbalas untuk membersihkan mata dari bahan kimia penyebab pedih tadi. Mekanisma ini akan membuatkan kita menangis.
Bolehkah bahan kimia ini dielakkan dari terkena mata?
Boleh. Antara caranya ialah:
1) pakai cermin mata 😎 boleh meminimalkan bahan kimia tadi terkena mata.
2) kupas bawang di tempat yang sejuk kerana aktiviti gas akan berkurangan apabila suhu menjadi rendah (ideal gas menjadi real gas). Ini akan meminimalkan jumlah bahan kimia pemedih yang sampai ke mata.
3) kupas bawang dalam air. Ini akan mengurangkan proses pengwapan bahan kimia pemedih mata tadi.
4) elakkan dari mencalarkan atau mencederakan sel bawang bagi mengelakkan tindakbalas antara bahan kimia pencetus. Dengan ayat yang lain, kupas bawang yang kering sahaja.
*semoga bermanfaat 😊*
Rujukan:
1) Block, E., 2010. Garlic and other Alliums: The lore and the science. Royal Society of Chemistry, p.132.
2) Scott, T., 1999. What is the chemical process that causes my eyes to tear when I peel an onion? Scientific American.
Sumber: Facebook 

Nor Azilah