Siakap Keli
Gambar: Via Google

Teman Lelaki Ibu Campak Bayi Ditahan

Seorang remaja lelaki dipercayai bapa kepada bayi perempuan yang dicampak dari tingkat empat sebuah flat di Bayan Baru, dekat sini oleh ibu kandungnya dalam kejadian dua hari lepas ditahan bagi membantu siasatan kes itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata remaja berusia 18 tahun yang merupakan teman lelaki kepada ibu bayi itu ditahan selepas dia menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru, dekat sini pukul 8.40 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati remaja lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mengaku mengenali remaja perempuan berkenaan. Dia berasal dari Kampung Padang Bekuai, Pengkalan Hulu di Perak dan kini menetap di Bayan Lepas,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan mendapati remaja lelaki itu negatif dadah dan dia juga tiada rekod jenayah lampau.

Siasatan lanjut akan dijalankan dan remaja lelaki itu direman bagi membantu siasatan menurutĀ  Seksyen 317 Kanun Keseksaan, katanya.

Dalam kejadian pada Rabu itu, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai mencampak bayi yang baru lahir dari sebuah unit kediaman di tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat sini.

Bayi perempuan yang cukup sifat dan masih hidup itu ditemui dalam beg di belakang flat itu dalam keadaan berdarah oleh penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah dalam kejadian pukul 8.00 pagi.

Selain kecederaan pada otak, bayi malang yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang itu turut dilaporkan mengalami retak tempurung kepala dan kecederaan pada hati serta perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right