Siakap Keli

TNB Perkenal Pelan Bayaran Mudah Kepada 7.5 Juta Pelanggan Kediaman.

KUALA LUMPUR, 14 Mei  — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memperkenalkan Pakej Bantuan merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang menawarkan penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata PBM merupakan usaha TNB dalam membantu mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada rakyat.

“Memandangkan pembacaan meter turut ditangguhkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sedar kebimbangan pelanggan kediaman mengenai kenaikan bil mereka apabila pembacaan meter sebenar dilakukan.

“PBM akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TNB telah menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.

Justeru, pengebilan dilakukan mengikut bil anggaran berdasarkan jumlah bil sebelumnya.

Bil anggaran boleh didapati menerusi saluran digital TNB seperti portal dan aplikasi myTNB serta perbankan Internet sekiranya bil TNB telah di daftar sebagai pembayar.

Amir Hamzah berkata operasi pembacaan meter dan penyerahan bil akan kembali dilakukan bermula 15 Mei di negeri-negeri zon hijau iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kecuali Sri Manjung) dan Kelantan.

Pelanggan akan beransur-ansur menerima bil sebenar yang diselaraskan mengikut bil anggaran lalu bagi mendapatkan penggunaan sebenar mereka, katanya.

“Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah PBM.

“Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima,” jelasnya.

Pakej PBM merupakan tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah 2.0 peratus hingga 50 peratus yang TNB tawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Amir Hamzah menambah penangguhan surcaj lewat bayar adalah sehingga 30 September 2020 manakala penangguhan aktiviti pemotongan bekalan adalah sehingga 31 Julai 2020.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah