Siakap Keli

“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Terima Kasih Guru!

Artikel ini sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei. Tema sambutan Hari Guru 2020 “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.

SEREMBAN (Bernama) — “Semuanya bermula dari arwah ayah. Jiwa, semangat dan keikhlasannya sebagai pendidik termasuk kepada ‘anak-anak istimewa’ membuatkan kami adik-beradik jatuh hati terhadap profesion perguruan.

“Arwah ayah cikgu Mohd Salim Nordin pernah buka kelas (mengajar) di bawah tangga Sekolah Kebangsaan Simpang Durian (SKSD), Jelebu. Beliau tak pernah jemu mengajar ABC setiap hari kepada anak-anak murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Bila ada anak murid yang pandai membaca, ia satu kepuasan bagi ayah.

“Bertitik tolak dari situ, saya nekad mahu menjadi guru lebih-lebih lagi menabur bakti mengajar anak-anak istimewa. Ayah berpesan, sebagai guru kita perlu ikhlaskan hati dan menyerahkan seluruh jiwa raga demi mendidik murid-murid tidak kiralah siapa dan apa pun latar belakang mereka ” demikian menurut guru PPKI di Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir (SMKTH), Jelebu, Siti Aishah Mohd Salim membuka bicara.

Ayahnya berkhidmat sebagai guru dari usia 23 tahun sehingga bersara pada usia 60 tahun. Beliau meninggal dunia pada 2017 iaitu setahun selepas bersara.

‘KELUARGA CIKGU’

Memiliki ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dari Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berpengalaman selama 11 tahun mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Hidup (Masakan) dan Sains bagi PPKI di SMKTH.

SMKTH terletak bersebelahan dengan SKSD, sekolah di mana ayahnya pernah mengajar dahulu.

Siti Aishah adalah anak kedua daripada lima adik beradik. Hanya adik bongsu tunggal lelakinya sahaja yang tidak memilih kerjaya sebagai guru. Suami Siti Aishah dan abang iparnya juga merupakan guru.

Justeru, tidak hairanlah apabila keluarga Cikgu Salim dikenali sebagai ‘keluarga cikgu’ oleh penduduk setempat.

Bagi Siti Aishah, mengajar pelajar PPKI ada cabaran tersendiri dan beliau bersyukur serta gembira kerana dapat merealisasikan cita-cita yang diidamkan.

“Cabaran mengajar pelajar PPKI tidak seperti mengajar pelajar normal kerana mereka pelajar istimewa. Ada yang lambat, sukar untuk memahami apa yang disampaikan dan perlu diajar berulang kali. Sungguh pun begitu, saya seronok.

“Pelajar PPKI jika diberi peluang dan melalui saluran yang betul, mereka boleh melakukan sama seperti pelajar aliran perdana malah tidak mustahil juga lebih baik. Mereka juga ada kecenderungan, potensi dan bakat tertentu yang boleh digilap.

“Contohnya, seorang pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dari PPKI SKSD, apabila ke SMKTH, saya tempatkan beliau di kelas inklusif aliran perdana. Ketika tingkatan empat beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam dan berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai sebuah pertandingan sukan permotoran di Jepun,” katanya.

 

SOKONGAN IBU BAPA

Berhubung perkembangan pelajaran pelajar-pelajarnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan krisis COVID-19 ketika ini, Siti Aishah berkata kerja sekolah dan latihan diberikan melalui aplikasi Whatspps Group penjaga.

“Ada ibu bapa dan penjaga yang positif membantu pelajar untuk membuat kerja sekolah namun ada juga yang senyap, diam seribu bahasa. Boleh kata maklum balas yang diterima 50-50. Selain kekangan kemudahan telefon, kebanyakan pelajar juga agak sukar untuk mengikuti kaedah pembelajaran dari rumah.

“Sungguh pun begitu, perjuangan mendidik tetap diteruskan. Sebagai guru PPKI, kami umpama wira di mata para pelajar.

“’Tumbang’ kami, tumbanglah anak-anak PPKI. Insya-Allah saya akan terus menyumbang bakti dan tenaga untuk mendidik mereka selain berharap ibu bapa juga akan terus memberi kerjasama dan menyokong usaha kami,” katanya, yang turut berkongsi terdapat ibu bapa yang bertemu beliau dan mengucapkan terima kasih serta mengalirkan air mata kerana berjaya mendidik anak-anak mereka.

 

MURID ORANG ASLI

Berbeza pula kisahnya dengan Muhammad Hilmi Madzaili, 34, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Jelebu, yang majoriti murid sekolah itu adalah dari kaum Orang Asli Temuan.

Enam tahun mengajar di SK Putra, beliau berkata cabaran awal yang dihadapi ialah kesukaran untuk berkomunikasi kerana Bahasa Melayu bukanlah bahasa pertuturan murid-murid di sekolah tersebut.

“Lebih 95 peratus murid-murid adalah dari kaum Orang Asli Temuan. Disebabkan masalah itu, perlahan-lahan saya cuba memahami mereka, membiasakan diri dan kini saya boleh bertutur bahasa mereka.

“Saya mahu mereka berasa selesa selain memastikan matlamat pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai walaupun kaedahnya mungkin berbeza dengan guru dan sekolah lain,” katanya yang sudah 11 tahun menjadi guru.

SK Putra mempunyai seramai 18 orang tenaga pengajar dan 139 orang murid serta lima orang murid pra-sekolah.

Sekolah itu turut dilengkapi kemudahan asrama yang secara tidak langsung turut menarik minat komuniti anak-anak Orang Asli untuk hadir ke sekolah dan belajar.

Majoriti murid adalah dari daerah Jelebu iaitu dari Kampung Putra, Kampung Sawah, Kampung Parit Gong, Kampung Simpang Pertang, Kampung Ulu Lakai dan Kampung Rangoi.

Manakala sebahagian lagi dari negeri Pahang iaitu dari Kampung Gapoi, Kampung Sungai Perdak dan Kampung Semei.

Muhammad Hilmi yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur, dan menetap di Sungai Buloh, Jelebu, membuat keputusan untuk tinggal di kuarters guru untuk memudahkan beliau membantu memantau aktiviti pembelajaran murid-murid termasuk mengadakan kelas tambahan.

Mengajar subjek Matematik dan Sejarah tahun lima, beliau berkata murid-murid amat meminati bidang muzik dan sukan sekaligus memerlukan guru menjadi lebih kreatif. Apa yang mereka lakukan ialah menggabung jalin sesi pengajaran dan pemudah cara (PDPC) yang melibatkan kedua-dua bidang itu, bagi menarik perhatian murid-murid untuk belajar.

 

KEKANGAN TEKNOLOGI

Turut menyentuh mengenai pemantauan sesi pembelajaran murid-murid sewaktu PKP, beliau berkata Guru Besar SK Putra, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim mengambil inisiatif awal dengan menggerakkan guru untuk mengesan keberadaan murid terutama melalui aplikasi Whatsapp setiap kelas.

Cuma katanya, kekangan yang dihadapi ialah hampir 12 peratus ibubapa tidak mempunyai telefon pintar selain ada antara mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai jaringan dan akses internet.

“Kajian yang dijalankan pihak sekolah mendapati hanya 61 peratus murid sekolah ini yang dapat melaksanakan pembelajaran sepanjang PKP. Sebanyak 27 peratus tidak mempunyai akses internet manakala 12 peratus lagi tiada kemudahan gajet.

“Antara medium pengajaran dan pembelajaran yang digunakan ialah Google Classroom, Google Meet, video call, Whatsapp, Facebook, SMS atau penghantaran latihan secara manual kepada ibubapa atau wakil pelajar, bergantung kepada kebolehan capaian maklumat masing-masing.

“Sungguh pun begitu, majoriti ibu bapa memberi maklum balas positif dan menyokong penuh usaha kami guru-guru untuk membantu anak-anak mereka. Ada yang sanggup berkongsi telefon pintar dan talian internet untuk anak-anak menyiapkan latihan yang diberi. Murid-murid pula teruja menyiapkan tugasan sampai ada yang ‘pm tepi’ minta tugasan lain,” katanya mengagumi sikap ibubapa dan murid-murid sekolah itu.

 

UBAH STIGMA MASYARAKAT

Berkongsi misi beliau untuk mendidik anak-anak komuniti Orang Asli, Muhammad Hilmi berkata stigma kebanyakan masyarakat terhadap kebolehan golongan minoriti itu terutama dalam aspek pendidikan perlu diubah.

Selain murid-murid berjaya membuktikan kebolehan mereka melalui beberapa pertandingan dan aktiviti peringkat kebangsaan, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang saban tahun datang ke sekolah menjalankan aktiviti turut membantu memberi pendedahan kepada murid-murid Orang Asli termasuk sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya mempunyai prinsip bring the world to them supaya mereka tidak takut berdepan dengan dunia luar. Memang tak dinafikan, stigma memandang rendah kepada golongan ini masih wujud namun sebagai guru saya akan berusaha membantu mendidik dan mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan.

“Bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, saya juga percaya guru perlu membuat pembaharuan selaras dengan normal baharu akibat pandemik COVID-19 agar anak-anak ini terus bersemangat untuk belajar.

“Saya berazam mencetuskan perubahan kepada diri setiap murid Orang Asli supaya lebih maju dan menempa kejayaan. Semua guru inginkan anak murid mereka berjaya, begitu juga saya yang sentiasa yakin dengan kemampuan anak-anak murid saya dengan syarat mereka cekal berusaha dan terus belajar,”  katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia.

Selamat Hari Guru 2020. Terima kasih cikgu!

sumber: Bernama

Nurul Najiha

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.