Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Boleh Makan Di 8,800 Lagi Premis Makanan Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 17 Mei  — Lira-kira 8,800 lagi kedai makan di Pulau Pinang dibenar menerima pelanggan makan di dalam premis bermula esok melalui Fasa 2 Strategi Pemulihan Berperingkat Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pertambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan 9,682 premis dibenarkan beroperasi yang membolehkan  pelanggan  makan di dalam premis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 3,200 premis di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) (tidak termasuk pub, bar) manakala 5,592 premis di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), telah dibenarkan beroperasi esok melalui rancangan Fasa 2,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Katanya, pada 15 Mei lepas, melalui Fasa 1, sebanyak 720 premis dibenar menjalankan aktiviti makan di dalam premis di kawasan pulau manakala di Seberang Perai sebanyak 167 premis.

“Keseluruhan kategori premis yang dibenarkan untuk beroperasi adalah terdiri daripada premis di dalam pasar raya, hotel dan restoran francais,” katanya.

Pada 13 Mei lepas, kerajaan negeri mengumumkan bahawa semua premis makanan meliputi hotel, pasar raya dan francais makanan segera di negeri ini yang dibuka secara berperingkat-peringkat bermula 15 Mei untuk pelanggan makan di dalam premis, perlu mematuhi 14 langkah untuk menjamin keselamatan dan kesihatan awam.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story