Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Mukhriz Umum Lepas Jawatan MB Kedah Berkuatkuasa Serta Merta

ALOR SETAR, 17 Mei (Bernama) — Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini mengumum melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa serta merta.

Mukhriz berkata ia susulan selepas beliau kehilangan kepercayaan oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan (Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam kalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.

“Saya doakan mudah-mudahan Allah SWT terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan negeri dan rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang telah memberikan kerjasama baik dalam merealisasikan dasar dan pendekatan sepanjang tempoh memimpin negeri ini.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, susulan perletakan jawatannya sebagai menteri besar semua jawatan exco kerajaan negeri turut tergugur.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, pergolakan kepartian telah menyebabkan dua ADUN PKR meninggalkan parti mereka sebelum ini, sekaligus menyebabkan gabungan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti di DUN Kedah.

Susulan itu juga, Mukhriz berkata empat lagi ADUN Bersatu juga yang telah menyokong Perikatan Nasional (PN) menyebabkan gabungan PH dan Bersatu hanya memiliki 13 kerusi DUN berbanding PN yang memiliki 23 kerusi.

“Saya redha dengan keadaan ini dan dengan rela hati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Apa jua perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat persekutuan, saya dan rakan-rakan PH bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga DUN Kedah dibubar,” katanya.

Selasa lepas, dua ADUN PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling (Sidam) mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada PN.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan menteri besar.

Pada sidang media berasingan hari ini, Setiausaha Kerajaan negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan bahawa Sultan Kedah telah memperkenan untuk melantik Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa