Siakap Keli

PKPB: Sultan, Sultanah Kedah Titah Rakyat Patuhi SOP Menjelang Aidilfitri

ALOR SETAR, 18 Mei — Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff menitahkan rakyat negeri ini agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sultan Kedah hari ini, baginda berdua menyarankan rakyat terus mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan diri seperti mengamalkan jarak sosial semasa menyambut perayaan itu.

Kenyataan itu menyebut Sultan Kedah dan Sultanah Kedah memahami perasaan dan kesukaran rakyat yang terpaksa beraya dalam tempoh PKPB memandangkan wabak COVID-19 masih belum berakhir.

“Bagi anak Kedah yang berada di perantauan, Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah menzahirkan rasa simpati, kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama ahli keluarga dan meminta mereka bersabar demi kebaikan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Kedah dan Sultanah Kedah turut menitahkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kedah baharu Muhammad Sanusi Md Nor atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14, semalam.

“Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah berharap, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan mengutamakan rakyat jelata serta memastikan kesejahteraan Negeri Kedah Darul Aman,” menurut kenyataan itu.

Titah penghargaan juga dizahirkan kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang mengemudi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Sultan Sallehuddin hari ini berkenan menunaikan bayaran zakat fitrah bagi tahun 1441 H/ 2020M yang berlangsung pada satu majlis ringkas di pejabat baginda di Wisma Darul Aman di sini.

Bayaran zakat itu dibuat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Syeikh Zakaria Othman.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)