Siakap Keli

Kumpulan Terakhir Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan Dihantar Pulang

LABUAN, 18 Mei — Kumpulan terakhir seramai 154 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML)  dihantar pulang ke Tawau, Sabah pagi ini dengan lapan buah bas, dengan itu kesemua 2,232 pelajar KML telah pulang ke kampung halaman masing-masing di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Penghantaran pulang pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi itu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19,  dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Kementerian Pendidikan, pegawai KML dan polis sejak 2 Mei lepas.

“Kami akhirnya menghantar pulang semua pelajar KML dalam tempoh 16 hari untuk kembali bersama keluarga,” kata pengerusi jawatankuasa bencana Dr Fary Akmal Osman, selepas menghantar kumpulan terakhir pelajar KML itu di Terminal Feri Labuan.

Sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lepas, KML mempunyai jumlah pelajar terbanyak yang terkandas di pulau ini diikuti Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan 1,098 dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan 39 pelajar.

Menurut beliau, seramai 48 pelajar UMSKAL akan dihantar pulang ke Bintulu melalui penerbangan Malaysia Airlines esok, manakala 220 lagi masih menunggu kebenaran kerajaan Sabah.

Sementara itu, pada 15 Mei, seramai 232 pelajar pusat pengajian tinggi dari Labuan yang terkandas di kampus masing-masing di Semenanjung tiba melalui penerbangan sewa khas Malaysia Airlines dengan 111 daripadanya kini dikuarantin di Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Industri.

“Kami telah dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, sekurang-kurangnya 20 lagi pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang akan dihantar pulang ke sini sebelum Aidilfitri melalui penerbangan sewa khas, dan kami berharap semua pelajar mematuhi polisi kuarantin,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)