Siakap Keli

Polis Pulau Pinang Beri Amaran Jangan Rentas Negeri

NIBONG TEBAL, 19 Mei — Polis Pulau Pinang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak cuba merentas masuk ke negeri itu bagi pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri tanpa surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata sehingga semalam, sebanyak 308 kenderaan yang cuba balik ke kampung di negeri ini telah diarah berpatah balik dengan sembilan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang ingkar.

Beliau berkata kebanyakan kenderaan yang datang dari arah selatan dan utara itu memberi alasan untuk pulang beraya, bagaimanapun mereka tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan.

“Sehingga semalam, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 8,386 permohonan rentas negeri kerana pelbagai alasan terutama kecemasan dan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk berjumpa seminggu sekali,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan operasi pihak polis sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Jawi, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menjalankan sekatan jalan raya 24 jam sehari di 18 kawasan melibatkan sempadan negeri ini bagi mengekang kemasukan orang ramai yang cuba pulang ke kampung halaman malah pasukan Polis Trafik Bukit Aman turut membuat sekatan serta pemeriksaan di Tol Juru menghala utara.

Dalam pada itu, Sahabudin berkata sempena Aidilfitri ini, pihaknya turut membekukan cuti lebih 5,000 pegawai dan anggota polis di negeri itu bagi memastikan pelaksanaan PKPB berjalan lancar mengikut peraturan ditetapkan serta membuat pemantauan kegiatan jenayah bagi memastikan keadaan terkawal.

“Kami menubuhkan 142 pasukan khas PKPB membabitkan hampir 1,000 pegawai dan anggota polis bagi membuat pemantauan termasuk mengesan mereka yang balik ke kampung halaman tanpa surat kebenaran,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah