Siakap Keli

Rentas Negeri Untuk Suami Isteri Tinggal Berjauhan Bertemu, Bukan Untuk Hari Raya

Kelonggaran yang diberikan kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi berjumpa keluarga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak boleh digunakan sewaktu hari raya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran untuk menziarah pasangan yang tinggal di negeri lain hanya terpakai untuk hari-hari biasa sahaja.

”Untuk suami isteri yang nak menziarah suami atau isteri di tempat lain, sepatutnya berlaku bukan untuk hari raya.

”Itu adalah kebenaran bukan untuk hari raya, itu untuk hari-hari biasa,” kata beliau.

Menurut Ismail Sabri, ramai pasangan yang cuba mengambil kesempatan akan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini dengan tujuan untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga.

Jelas beliau, setiap pasangan perlu mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri dan hanya akan dibenarkan pulang sekiranya pihak polis berpuas hati dengan alasan yang diberikan.

”Jadi ramai yang mengambil kesempatan ini kerana kebenaran tersebut, maka dia pun nak balik raya tetapi saya dah katakan walaupun dia nak rentas negeri untuk berjumpa dengan isteri atau suami atau keluarga dia, juga mesti mendapat kebenaran polis.

”Kalau polis berpuas hati bahawa tujuan dia balik bukan untuk raya tetapi benar-benar kerana dia dah lama sangat tak balik dan dia rindu dengan keluarga dan dia nak balik dan ada kebenaran daripada kerajaan, nak dibenarkan terserah kepada polis,” ujar beliau.

Tegas beliau, peraturan asas yang terpakai untuk menziarahi pasangan seperti yang dibenarkan oleh kerajaan adalah bukan sewaktu hari raya tetapi hari-hari biasa.

”Tetapi peraturannya, nak balik merentas negeri untuk raya tak boleh termasuklah kes yang melibatkan suami isteri yang kita benarkan dulu bukan untuk waktu hari raya tetapi hari-hari lain,” kata beliau.

Terdahulu, kerajaan memutuskan memberikan kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi berjumpa keluarga.

Keputusan itu dibuat susulan terdapat pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja dan tidak dapat berjumpa keluarga selama dua bulan.

 

 

Sumber: Sidang Media Terkini PKPK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.