Siakap Keli

Tatacara Kursus Praperkahwinan Islam Semasa PKPB, Pasca PKPB Sedang Dimuktamadkan

PUTRAJAYA, 19 Mei  — Tatacara pelaksanaan kursus praperkahwinan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasca PKPB sedang dimuktamadkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) juga sedang menyediakan mekanisme pengajaran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam dalam tempoh berkenaan.

“Tatacara ini sebagai panduan kepada JAIN bagi melaksanan kursus praperkahwinan Islam bermula daripada kaedah pendaftaran, syarat-syarat penganjuran, etika penceramah, urus setia dan peserta, pengambilan Sijil Kursus Praperkahwinan Islam serta lain-lain perkara berkaitan,” katanya.

Antara pertimbangan yang dibuat berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 ialah mengurangkan interaksi sosial antara peserta dan penceramah, mengehadkan pergerakan peserta dan penceramah bagi yang terlibat dalam kursus secara bersemuka, dan penjarakan sosial, katanya.

Beliau berkata Jakim dan JAIN juga akan merujuk Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan pandangan dalam aspek keselamatan dalam penganjurannya kelak.

Paimuzi berkata maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kursus praperkahwinan Islam itu boleh dirujuk kepada jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul