Siakap Keli

Anggota Polis Trafik Lepaskan Dua Das Tembakan Cuba Tahan Suspek Di Jalan Genting Klang

KUALA LUMPUR, 20 Mei  — Kejadian seorang anggota trafik mengejar kereta jenis Nissan Teana dan melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kanan kenderaan itu, seperti yang dilihat dalam klip video berdurasi 43 saat yang tular di media sosial berlaku di Jalan Genting Klang di sini, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, anggota trafik yang sedang bertugas mengawal lalu lintas cuba menahan kereta berwarna hitam itu dengan dua lelaki di dalamnya, yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pemandu kereta berkenaan yang bertindak melarikan diri, cuba melanggar anggota polis serta menghimpit beberapa kenderaan awam sebelum memecut ke arah Jalan Gombak di sini.

“Anggota mengejar kereta berkenaan dengan menaiki motosikal dan telah melepaskan dua das tembakan di tayar hadapan sebelah kanan bagi memberhentikan kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun terus memecut laju ke arah Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), sebelum meninggalkan kereta itu di pembahagi jalan di lebuh raya itu.

“Kedua-dua suspek melarikan diri meninggalkan kereta itu dan hasil pemeriksaan di dalam kereta, membawa kepada penemuan satu paket dadah disyaki syabu,” katanya.

Zulkefly berkata, semakan nombor pendaftaran mendapati kereta berkenaan adalah milik seorang wanita yang berada di Johor.

“Usaha mengesan dua suspek sedang giat dijalankan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.