Siakap Keli

JAIS Tak Benarkan Ziarah Kubur Di Selangor Untuk Raya Kali Ini

Sebarang aktivti menziarahi makam diraja atau tanah perkuburan Islam sepanjang perayaan Aidilfitri; khususnya pada sebelum atau selepas solat sunat Aidilfitri bagi negeri Selangor adalah tidak dibenarkan.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketetapan larangan tersebut dibuat seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri.

“Mereka yang berhasrat untuk menziarahi kubur arwah dalam tempoh ini bolehlah digantikan dengan amalan bacaan tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing untuk dihadiahkan pahalanya kepada arwah kaum keluarga dan kerabat yang telah kembali ke Rahmatullah.

“Pengurus atau pihak yang menguruskan makam diraja atau tanah perkuburan Islam di negeri Selangor hendaklah membantu JAIS dalam memastikan ketetapan ini dipatuhi oleh semua pihak.

“Tempoh masa kuatkuasa bagi ketetapan ini tertakluk kepada satu siaran yang akan dikeluarkan oleh JAIS kemudian,” jelas kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ziarah kubur ketika PKPB dan Aidilfitri hanya akan dikeluarkan sekiranya dirasakan perlu.

Jelas Ismail, ia bergantung kepada nasihat dan keputusan semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: FB Jabatan Agama Islam Selangor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.