Siakap Keli

LZS Sumbang 2,000 Set PPE Bagi Kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 20 Mei  — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyantuni petugas barisan hadapan menerusi sumbangan 2,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi kepada Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman dalam satu majlis ringkas di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Set PPE yang disumbangkan itu merangkumi alat pelindung muka, sarung tangan, pakaian khas serta sarung penutup kasut dan kesemua peralatan berkenaan dihasilkan LZS dengan kerjasama pensyarah serta pelajar Management and Science University (MSU).

Mohammed Khusrin berkata disebabkan cuti perayaan Aidilfitri yang panjang hujung minggu ini, pihaknya terpanggil untuk memastikan petugas kesihatan mempunyai bekalan PPE yang cukup dalam merawat pesakit COVID-19.

“Sumbangan set PPE dianggarkan bernilai RM100,000 merupakan sebahagian daripada Bantuan Khas COVID-19 LZS. Selain inisiatif itu, tiga mesin ventilator serta kelengkapan perubatan lain telah disalurkan kepada hospital dan fasiliti kesihatan di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari berkata setakat ini, JKNS mempunyai bekalan PPE yang boleh digunakan petugas kesihatan untuk tempoh dua bulan lagi.

“Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak sejak penularan wabak COVID-19 banyak menampung bekalan kita dan ia dapat diagihkan ke fasiliti kesihatan di seluruh negeri ini kerana sehari, petugas menggunakan kira-kira 1,500 set untuk berhadapan jangkitan virus itu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul