Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Sambutan Raya Berbeza, Ini Antara Perkara Yang Perlu Tahu Raikan Aidilfitri Di Rumah

Bulan syawal merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat islam seluruh dunia. Bulan syawal disambut sekali setiap tahun. Hari raya dimeriahkan lagi dengan kunjungan sanak-saudara yang telah lama tidak bersua. Namun, perbezaan di rasakan bagi menyambut hari raya tahun ini. Seluruh umat Islam tidak digalakkan untuk berkunjung-kunjungan dengan saudara mara akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ini.

Sambutan hari raya Aidilfitri berbeza tahun ini

Sepanjang bulan Ramadan mesti anda akan terfikir tentang sambutan hari raya Aidilfitri untuk tahun 2020 ini, bukan?

Boleh ke menyambut raya dengan kemeriahan seperti biasa atau perlu meraikannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)?

Persoalan itu terjawab pada 10 Mei yang lepas apabila Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

Untuk beraya dalam tempoh PKPB ini, ada beberapa larangan dan kebenaran yang perlu dipatuhi, antaranya hanya 20 individu had maksimum dibenarkan dalam sebuah rumah pada 1 masa.

Ini secara tidak langsung bermakna sambutan raya pada kali ini pastinya memberikan 1 kelainan.

Harus diingatkan, kelonggaran tersebut diberikan untuk menziarahi keluarga yang berada di dalam negeri yang sama sahaja.

Pematuhan SOP pada sambutan hari raya Aidilfitri

Bagi mereka yang duduk berjauhan dengan keluarga, pastinya perkhabaran itu mendatangkan rasa sayu dan sedih.

Namun menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terdapat sebab mengapa kebenaran untuk pulang beraya di kampung bagi sambutan hari raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

sambutan-hari-raya-aidilfitri-dalam-tempoh-PKPB

Ini kerana wujud kesukaran memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan COVID-19.

Keadaan ini melibatkan aspek seperti pemantauan amalan jarak sosial antara tetamu serta pemeriksaan suhu badan setiap individu yang datang menziarah.

Beraya dalam tempoh PKPB

Mengulas mengenai kebenaran aktiviti ziarah 20 individu dalam sebuah rumah pada 1 masa, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan ia melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja.

Paling utama setiap individu dalam sebuah rumah itu perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu penjarakan sosial.

Umumnya, KKM tidak menggalakkan perhimpunan atau pelawat datang ke rumah. Namun ziarah ini hanyalah melibatkan ahli keluarga.

Jadi apakah yang boleh dibuat dan patut dielakkan semasa sambutan hari raya Aidilfitri sepanjang tempoh PKPB ini nanti?

Garis panduan sambutan hari raya Aidilfitri PKPB

Aspek kepatuhan, disiplin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan individu pastinya perkara paling utama bagi mengekang berlakunya gelombang baharu bagi penularan wabak COVID-19.

Masalah paling dibimbangkan adalah berkaitan ketidakpatuhan terhadap SOP terutama dalam pergerakan dan amalan jarak sosial.

Selain itu, aspek penjagaan kebersihan yang tidak betul juga boleh menyebarkan penyakit.

Jadi apa yang perlu anda lakukan jika mahu berziarah dan beraya dalam tempoh PKPB?

Langkah-langkah untuk meraikan hari raya Aidilfitri di rumah:

Seperti yang dinyatakan di atas, had maksimum dibenarkan adalah 20 individu bagi sebuah rumah. Namun ia perlulah bergantung kepada keluasan rumah.

Jangan kerana ingin cukupkan 20 individu sehingga terpaksa bersesak dan bersempit. Maka ia sudah tentu akan meningkatkan risiko penularan wabak COVID-19.

Selain itu, berikut antara perkara yang perlu dititikberatkan:

  1. Setiap rumah perlu mempunyai gel pembersih tangan di pintu masuk.
  2. Jika boleh sediakan tempat daftar nama dan nombor telefon tetamu, ini dapat memudahkan proses pengesanan jika wujud kes positif.
  3. Elakkan berjabat tangan, salam mahupun berpelukan.
  4. Pastikan wujud amalan jarak fizikal. Sentiasa menjaga jarak selamat walaupun ketika melayan tetamu.
  5. Pemakaian topeng muka disarankan apabila menerima tetamu.
  6. Amalkan budaya membasuh tangan dengan betul sekurang-kurangnya selama 20 saat.
  7. Menjaga kebersihan rumah.
  8. Sebaiknya gunakanlah pinggan dan cawan pakai buang. Cuci semua peralatan hidangan dengan teliti setelah melayani tetamu.
  9. Hindari daripada menghidangkan makanan secara buffet dan dibiarkan terdedah. Jika boleh sediakan makanan berbungkus.
  10. Jika terdapat ahli keluarga daripada kumpulan berisiko seperti individu lebih berusia, kanak-kanak atau individu dengan masalah kesihatan, elakkan daripada menerima tetamu.
  11. Hadkan bilangan tetamu dalam rumah.

Selesai aktiviti berziarah, pastikan tetamu mencuci tangan atau sekurang-kurangnya menggunakan gel pembersih tangan sebelum beredar pulang.

sambutan-hari-raya-aidilfitri-dalam-tempoh-PKPB

Individu yang perlu mengelakkan berziarah semasa sambutan hari raya Aidilfitri:

  • Individu yang tidak sihat
  • Sesiapa yang tergolong dalam kes yang disahkan atau berkemungkinan besar positif COVID-19
  • Individu yang sedang menunggu hasil ujian pemeriksaan COVID-19
  • Individu yang sedang menjalani proses kuarantin atau pengasingan diri

Jika anda tergolong dalam senarai 4 individu di atas, jangan sedih. Pelbagai cara boleh anda lakukan untuk tetap meraikan hari raya ini. Bagaimana?

Dalam kemajuan teknologi ini, anda masih boleh berhubung dengan ahli keluarga melalui teknologi secara maya seperti Zoom, Facetime, Skype atau gunakan sahaja panggilan video WhatsApp.

Sentiasa amalkan penjagaan diri

Semasa beraya dalam tempoh PKPB ini, pastikan anda sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan untuk tempoh 20 saat dengan sabun dan air.

Pastikan juga anda menutup hidung dan mulut semasa bersin dan batuk dengan kain atau tisu. Jangan lupa membasuh tangan selepas itu dan elakkan daripada kerap menyentuh muka.

Beraya tidak salah tetapi kita masih perlu berganding bahu untuk memastikan tiada berlakunya gelombang baharu jangkitan COVID-19. Jangan pula lepas ini ada kluster raya!

Sumber: hellodoktor.com

Nurul Najiha