Siakap Keli

Anak Sempat Heret Ibu Keluar, Gagal Selamat Bapa Kerana Api Marak

KUANTAN, 21 Mei  — Isteri kepada warga emas yang maut terperangkap di bilik air dalam kebakaran sebuah rumah banglo di Kampung Selamat, malam tadi, sempat diselamatkan anak lelakinya, yang mengheret wanita itu keluar daripada bilik tidur.

Anak mangsa, Mohd Nazry Yusof, 46, berkata salah seorang adik lelakinya serta seorang iparnya yang tinggal di rumah itu bergegas ke bilik ibu bapa mereka di tingkat bawah setelah menyedari kebakaran berlaku di tingkat bawah rumah itu.

Beliau berkata adik dan adik iparnya memecahkan pintu bilik ibu bapanya sebelum adiknya itu berjaya mengheret ibu, Natrah Che Mat, 68, keluar, namun gagal menyelamatkan bapa, Yusuf Hassan, 74, kerana api marak dengan cepat.

“Selepas mengheret ibu keluar, mereka cuba masuk (ke bilik) sekali lagi untuk selamatkan ayah tetapi tak boleh sebab api cepat marak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Nazry, yang tinggal di rumah berasingan di Peramu, di sini, berkata, beliau mengetahui kejadian itu pada kira-kira jam11 malam, selepas menerima panggilan daripada adiknya dan apabila tiba di rumah tersebut, beliau mendapati api sudah terpadam tetapi bapanya masih belum ditemui.

“Ketika saya sampai ayah masih belum ditemui, saya cuba masuk ke dalam rumah bagi membantu bomba mencari ayah termasuk di bilik air di dalam biliknya di tingkat bawah, tetapi gagal kerana asap tebal,” katanya.

Beliau berkata bapanya menghidap pelbagai penyakit termasuk masalah penglihatan dan sakit lutut, yang mungkin menyebabkan bapanya gagal menyelamatkan diri semasa kebakaran berlaku dan hanya sempat masuk ke bilik air.

Sementara itu, menantu mangsa, Mohd Sukri Ismail, 48, yang bertindak memecahkan pintu bilik, berkata, beliau menyedari kebakaran itu selepas adik iparnya mengetuk pintu biliknya di tingkat atas  dan memaklumkan bilik bapa mertuanya sedang dipenuhi asap.

“Saya segera ke tingkat bawah dan memecahkan pintu bilik bapa dan ibu mertua saya, lalu mendapati api sudah pun marak. Saya cuba mendapatkan mereka namun oleh kerana asap tebal, saya berasa sesak nafas dan terpaksa keluar dari bilik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Razali mamat, 65, pula berkata beliau mendengar bunyi letupan kuat di rumah mangsa yang terletak bersebelahan rumahnya, menyebabkan beliau bergegas keluar kerana menyangka ada berlaku pergaduhan.

“Apabila menyedari rumah mereka sudah terbakar dan terdapat asap tebal, saya memanjat pagar dan memecahkan tingkap bagi membantu mereka menyelamatkan diri, namun saya kecewa kerana gagal menyelamatkan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam tadi, Yusuf, ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap di dalam bilik air, manakala tujuh anggota keluarga termasuk isterinya terselamat namun sebahagian daripada mereka melecur ringan.

Sumber:  BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul