Siakap Keli

Buat 80 Pesanan Pada Alamat Palsu, 30 ‘Food Rider’ Kerugian Dipercayai Kena ‘Prank’

Sepertimana yang kita ketahui, golongan penghantar makanan ini telah banyak berjasa kepada kita semasa wabak Covid-19 ini membadai dunia.

Manakan tidak, tatkala kita duduk di rumah dengan selamat, mereka ini sanggup merisikokan nyawa mereka demi memastikan bahawa perut pelanggan yang terpaksa berkurung di rumah tidak kosong.

Pun begitu, dalam pengorbanan mereka ini, masih lagi terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah didakwa bertindak mengenakan atau mempermainkan mereka dengan membuat pesanan yang banyak untuk dihantar ke alamat yang tidak wujud seperti yang terjadi di Thailand.

Menurut Thai World Daily, insiden tersebut yang dipercayai terjadi di Thailand menjadi tular di media sosial Facebook selepas salah seorang penghantar makanan tersebut berkongsikan berkenaan perkara itu.

Menurut laporan laman web tersebut,  seramai 30 orang penghantar makanan telah terlibat dalam pesanan yang dipesan oleh individu tersebut.

Individu tersebut didakwa telah membuat sebanyak 80 pesanan daripada kedai yang berlainan melalui dua akaun yang berbeza.

Satu demi satu penghantar makanan tersebut sampai ke alamat itu. Selepas mereka sampai, mereka cuba untuk menghubungi pelanggan tersebut. Namun, nombor telefon itu tidak dapat dihubungi. Pada ketika itulah mereka tersedar bahawa mereka sebenarnya mungkin telah ditipu oleh pelanggan tersebut.

Susulan daripada itu, syarikat penghantaran makanan tersebut telah mengumpul maklumat individu tersebut sejurus selepas menerima laporan daripada para penghantar makanan itu. Menurut Thai World Daily, perkara tersebut telah pun dipanjangkan ke pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sumber: UDNBKK

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa