Siakap Keli

FAMA Terengganu Catat Jualan RM1.43 Juta Semasa PKP

KUALA TERENGGANU, 21 Mei  — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu mencatatkan jualan sebanyak RM1.43 juta melalui Pasar Segar Terkawal (PST) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lepas.

Pengarah FAMA Terengganu Fauzi Mohamed berkata daripada jumlah itu, jualan tertinggi direkodkan di Myfarm Outlet (MFO) iaitu sebanyak RM752,454 diikuti jualan Pasar Tani Kekal sebanyak RM431,056.90.

“Selain itu, Pusat Operasi pula mencatat jualan sebanyak RM240,215.20 manakala jualan Agrobazaar secara dalam talian pula sebanyak RM3,951.80,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semua jualan tersebut terdiri daripada barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

Dalam pada itu, beliau berkata FAMA Terengganu telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada 35 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, fakir miskin dan golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Fauzi berkata sumbangan itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada golongan sasar di Agrobazaar Rakyat Kampung Machang dekat Ajil di Hulu Terengganu sempena Aidilfitri kali ini.

“Sumbangan kuih raya ini diharap dapat menceriakan golongan yang kurang bernasib baik agar mereka juga dapat merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha