Siakap Keli

Gadis 14 Tahun Derita ‘SLE’ Keadaan Makin Kritikal, Tanggung Sakit & Terpaksa Makan Ubat Seumur Hidup

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Anda pernah dengar nama penyakit SLE?

SLE atau nama penuhnya Sistemik Lupus Eritematosus adalah penyakit kronik “autoimmune” di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu badan seseorang pesakit itu sendiri.

Ini menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan.

Gejala yang biasa dialami oleh pesakit ialah radang kulit dan sakit sendi (arthritis), selalunya di iringi oleh keletihan dan demam.

Keadaan kulit muka pesakit yang mengalami radang akibat SLE. Kredit gambar: Google

Baru-baru ini, seorang warga Twitter yang menggunakan nama akaun Baby Girl, berkongsi satu tweet tentang adiknya yang kini sedang menderita penyakit tersebut.

Difahamkan, adiknya, Irene Sophia yang baru berusia 14 tahun sudah menghidapi penyakit SLE sejak lima bulan lalu, namun pada Isnin lepas, keadaannya dilaporkan semakin kritikal.

Gadis ini sempat menghubungi adiknya melalui panggilan video.

Dalam keadaan sakit terlantar di hospital, mereka berdua berbual dan ada satu ayat yang keluar dari bibir adiknya sangat meruntun hati.

Ekoran itu, tweet tersebut mencuri perhatian segenap netizen khususnya di Twitter hingga mendapat lebih 7 ribu retweet setakat pukul 11 malam ini.

Atas ihsan ramai pihak, terdapat beberapa netizen turut berkongsi kisah penderitaan pesakit SLE yang mereka kenali.

Perkongsian itu tidak lain tidak bukan adalah untuk sama-sama memberi sokongan antara satu sama lain.

Dalam perkongsian itu, turut diselitkan sekali kata-kata semangat serta ucapan buat adik gadis ini.

Ketika dihubungi Siakap Keli untuk mohon kebenaran penulisan artikel, gadis ini memberi keizinan kisah adiknya dikongsi agar boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi buat pesakit-pesakit SLE yang lain.

Sementara itu, memetik dari halaman rasmi Persatuan SLE Malaysia (lupusmalaysia.org), terdapat beberapa fakta ringkas mengenai penyakit tersebut iaitu;

  • Kaum wanita berisiko lebih tinggi, iaitu 10 kali ganda mengidap SLE berbanding dengan kaum lelaki.
  • Rawatan SLE bergantung kepada jenis dan tahap gejala yang dialami.
  • Rawatan SLE biasanya memerlukan penglibatan beberapa pakar dari beberapa disiplin. Pesakit sendiri juga perlu bersikap positif untuk menerima rawatan.

Terdapat beberapa jenis lupus:

  • Sistemik lupus eritematosus (SLE) ialah yang biasanya dimaksudkan apabila kita sebutkan “lupus”. Gejalanya mungkin sederhana atau serius. SLE biasanya menyerang mereka yang berumur di antara 15 dan 45 tahun. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil pengidap SLE adalah kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 45 tahun.
  • Diskoid lupus eritematosus (DLE) merupakan penyakit kulit yang kronik di mana terdapat tompok-tompok merah (malar rash) di muka, kulit kepala, bahagian badan, kaki dan tangan. Kulit yang terlibat akan menjadi tebal dan bersisik serta mungkin meninggalkan parut. Ruam berkenaan boleh berlarutan hingga beberapa hari atau tahun dan kemungkinan akan berulang setelah sembuh. Sebilangan kecil mereka yang mengidap DLE boleh mendapat SLE di kemudian hari.
  • Lupus Neonatal ialah keadaan yang boleh berlaku pada bayi yang baru dilahirkan oleh pengidap SLE. Ini mungkin disebabkan auto-antibodi di dalam darah ibu yang dipanggil anti-Ro (SSA) dan anti-La (SSB). Akibatnya, bayi ini akan mendapat radang kulit, masalah hati, dan masalah darah (low blood counts). Gejala ini akan hilang sedikit demi sedikit dalam masa beberapa bulan. Walaupun kes-kes begini jarang sekali dijumpai, namun bagi bayi yang lahir dengan masalah neonatal lupus mungkin juga mengalami masalah jantung yang mengganggu perjalanan jantung.

Semoga Irene Sophia kembali sembuh semula seperti sediakala.

Sama-samalah kita doakan.

Sumber: Twitter, lupusmalaysia.org

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'