Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Kastam Sarawak Patahkan Cubaan Seludup Rokok, Minuman Keras Bernilai RM3.43 Juta

KUCHING, 21 Mei — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM3.43 juta dalam satu penjejakan dan serbuan di kawasan Perindustrian Demak Laut di sini, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata dalam serbuan jam 12.30 tengah hari  itu, sebanyak 1.770 juta batang rokok dan 26,308.80 liter bir dan arak telah disita, dengan jumlah anggaran nilai barang sitaan adalah sebanyak RM1.13 juta serta jumlah anggaran amaun duti Kastam yang terlibat sebanyak RM2.30 juta.

“Bertindak hasil maklumat, sepasukan anggota Kastam dari cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching menjejak dan mengekori sebuah lori treler yang sarat membawa muatan dalam kontena disyaki dagangan belum lulus Kastam, di mana kontena itu dipercayai bergerak dari bahagian tengah atau utara Sarawak.

“Hasil intipan, penjejakan dan pemantauan selama tiga jam di sepanjang Jalan Serian-Kuching telah berjaya membawa pasukan berkenaan mengekori sasaran sehingga ke sebuah premis syarikat pengangkutan yang beroperasi di kawasan Perindustrian Demak Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga sebuah kenderaan jenis Prime Mover dan sebuah kontena berukuran 40 kaki (kira-kira 12.19 meter) dengan nilai anggaran kenderaan RM150,000 telah dirampas dan dua individu turut ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minima 10 kali ganda nilai duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti itu atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara di antara enam bulan dan lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd