Siakap Keli

Lagi Hasil Laut Negara Dirompak, APMM Tahan Dua Bot Pancing Warga Asing Ceroboh Kawasan Larangan

KOTA KINABALU, 20 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pancing bersama lima lelaki warga Filipina kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan dalam satu operasi khas di pelantar minyak Malikai, dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 9.00 pagi, kedua-dua bot pancing dan kesemua lelaki berumur antara 20 dan 39 tahun itu ditahan oleh anggota APMM yang melaksanakan operasi khas di kawasan itu.

Beliau berkata, bot pancing bersama lelaki terbabit masing-masing ditahan di dua kedudukan berbeza iaitu di 2.3 batu nautika tenggara dan 0.7 batu nautika timur pelantar minyak berkenaan.

“Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan. Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda  RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Bot dan lima orang lelaki warga Filipina itu telah dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut. Anggaran nilai rampasan kedua-dua bot ialah RM52,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, operasi khas dikenali sebagai Operasi Api 2/2020 itu dijalankan dengan kerjasama Petronas bertujuan mengekang aktiviti menangkap ikan di kawasan pelantar minyak kerana ia boleh mengundang bahaya kepada para nelayan serta pekerja di pelantar berkenaan.

Beliau berkata kawasan pelantar minyak menjadi tumpuan pemancing kerana hasil laut banyak serta pelbagai, dan terdapat segelintir nelayan tidak menghiraukan tentang keselamatan mereka.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.