Siakap Keli
Gambar: Facebook

“Mimpi Ngeri Terburuk,” Siling Konkrit Runtuh Terkena Belakang Budak Ketika Mandi

Satu siling konkrit dilaporkan telah jatuh menimpa seorang kanak-kanak di sebuah bangunan flat yang dikatakan telah berusia 45 tahun di Singapura selepas dia dipercayai menyemburkan air ke siling tersebut.

Ibu kepada kanak-kanak itu telah berkongsikan insiden tersebut menerusi akaun sosial medianya pada 19 Mei lalu sehingga menjadi tular dan telah dikongsi lebih daripada 1,400 warganet.

Menurut ibunya itu, siling tersebut telah menimpa di bahagian belakang tubuh anaknya itu.

Pada perkongsian berikutnya yang dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak tersebut, pihak polis dan ambulans telah dipanggil ke tempat kejadian bagi membantu anaknya itu.

Setelah dibawa ke hospital, pemeriksaan X-ray terus dilakukan oleh petugas perubatan bagi memeriksa sekiranya terdapat kecederaan dalaman pada kanak-kanak itu. Walau bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tiada kecederaan serius dilaporkan terjadi.

Selain mengucapkan terima kasih atas keprihatinan warganet terhadap nasib anaknya itu, dia juga telah menjelaskan bahawa dia memuat naik perkongsian tersebut setelah semua berkenaan anaknya itu selesai diuruskan.

Dia juga turut menjelaskan tentang bagaimana kejadian tersebut boleh terjadi. Menurutnya, anaknya itu telah menyemburkan air ke arah siling konkrit yang jatuh menimpanya.

Pun begitu, katanya, siling tersebut sememangnya sudah retak sebelum kejadian itu berlaku.

Pihak pengurusan perumahan tersebut menjelaskan bahawa serpihan konkrit itu tertanggal disebabkan hakisan pada batang keluli yang tertanam di dalam siling tersebut.

Lama kelamaan, hakisan tersebut telah membuatkan siling itu menjadi retak dan seterusnya tercabut.

Pun begitu, pihak pengurusan telah menyatakan bahawa mereka akan menanggung sepenuhnya ganti rugi akibat kerosakan itu dan akan memulakan proses pembaikan secepat mungkin.

Sumber: Mothership.sg

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa