Sebuah sekolah tinggi pertanian di Daegu, selatan Korea Selatan terpaksa ditutup serta-merta sehari selepas dibuka semula apabila seorang pelajarnya dikesan dijangkiti COVID-19.
Merujuk Pejabat Pendidikan Bandar Daegu, pelajar senior Sekolah Tinggi Pertanian Daegu yang disahkan positif virus itu tinggal di asrama, mengakibatkan pihak pentadbiran terpaksa menutup semula sekolah dan mengarahkan semua pelajar pulang ke rumah untuk dikuarantin.
Pelajar tersebut yang berasal dari Gumi, utara wilayah Gyeongsang, dilaporkan memasuki asrama pada Selasa petang sebelum diambil sampel ujian pada hari berikutnya.
Difahamkan, pihak sekolah diberitahu tentang keputusan sampel ujiannya yang didapati positif ketika sesi kelas pertama pada pagi Rabu, memetik laporan Yonhap News Agency.

Selain itu, 17 pelajar yang tinggal di asrama telah dikuarantin manakala 94 pelajar senior lagi telah dihantar ke rumah.
Dalam masa sama, 18 pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar positif COVID-19 tersebut akan diambil sampel ujian.
Sekolah pula akan ditutup selama dua hari untuk menjalani proses disinfeksi, sementara pengajian dalam kelas pula akan dijalankan secara atas talian.
Sebelum ini, sekolah-sekolah di seluruh Korea Selatan dijadualkan dibuka semula pada Rabu (semalam) selepas lima kali tertangguh ekoran wabak dan keutamaan menghadiri kelas diberikan kepada pelajar senior sekolah tinggi.
Manakala bagi pelajar sekolah menengah dan rendah, mereka dibenarkan kembali ke sekolah pada 8 Jun nanti.
Sementara itu, dalam satu laporan berasingan, semua pelajar senior di 66 buah sekolah di Incheon, barat Seoul diarahkan pulang ke rumah pada pagi Rabu selepas dua pelajar dikesan dijangkiti COVID-19.
Sumber: Yonhap News Agency