Siakap Keli
Gambar: BERNAMA/Google

Sekatan Jalan Raya Di Semua Laluan Keluar Lembah Klang – Polis

TANJUNG MALIM, 21 Mei — Ribuan kenderaan dikesan keluar dari Lembah Klang melalui Selangor menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur untuk bergerak ke negeri lain, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, pergerakan kenderaan itu dikesan sehingga 3.00 petang ini.

“Bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka didapati memiliki surat kebenaran untuk bergerak rentas negeri terutama kenderaan komersil,” katanya ketika ditemui pemberita di susur masuk Tanjung Malim, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di semua laluan keluar negeri itu melibatkan lebuh raya, jalan negeri dan jalan perbandaran menuju ke negeri lain.

Ribuan pengguna jalan raya mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk lebih sejam di laluan keluar dari negeri ini.

Arjunaidi berkata hasil pemantauan pihaknya di semua lokasi sekatan jalan raya di Selangor mendapati jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik berkurangan berbanding sebelum ini.

“Contohnya, hari ini sahaja lebih 35 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya di lebuh raya ini.

“Antara faktor kesesakan teruk adalah disebabkan pemeriksaan polis di setiap sekatan jalan raya mengambil masa kerana dibuat secara teliti bagi memastikan kenderaan yang mempunyai kebenaran untuk merentas negeri adalah sahih,” katanya.

Selain itu, Arjunaidi berkata pihaknya akan meningkatkan sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang sambutan Aidilfitri.

Antaranya di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim, PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Putra Mahkota dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan berhampiran Plaza Tol Bandar Serania.

Di KOTA BHARU, polis Kelantan menerima purata kira-kira 600 permohonan setiap hari untuk perjalanan rentas negeri, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhamad Piah.

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih 10,000 permohonan diterima daripada orang ramai untuk perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan termasuk yang kurang meyakinkan.

“Kebanyakan alasan yang kerap diberikan adalah faktor kesihatan ibu bapa tetapi apabila kami membuat semakan berdasarkan nombor telefon yang diberikan, ianya kurang meyakinkan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 200 pek kuih raya daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan di sini, hari ini.

Abdullah berkata, polis akan mengawasi laluan alternatif dan lorong tikus yang kemungkinan besar digunakan oleh orang ramai untuk rentas negeri menjelang Aidilfitri ini serta pemeriksaan di rumah-rumah yang didapati mempunyai banyak kenderaan.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd