Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Umat Islam Di Kedah Dilarang Ziarah Kubur Pada Hari Raya

Alor Setar: Umat Islam di Kedah dilarang untuk melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan semasa hari raya ini bagi mengekang penularan COVID-19, kata Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang.

Beliau berkata walaupun amalan itu sudah menjadi sebahagian tradisi setiap kali hari raya, namun pada tahun ini semua pihak ditegah berbuat demikian selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang wajib dipatuhi.

“Jika mahu berdoa kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia, boleh sahaja dilakukan rumah, kita harap rakyat Kedah patuh pada arahan, apatah lagi di Kedah ada jangkitan baharu semalam,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Logo ‘Muzakki’ oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa bacaan talkin di kubur juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB ini.

“Sebarang bentuk pelanggaran terhadap arahan atau ketetapan oleh ulul amri (pemerintah) adalah berdosa seperti yang saya sebut sebelum ini, kerajaan keluarkan arahan untuk kebaikan dan keselamatan rakyat, jadi ikutlah,” katanya.

Sementara itu, mengenai logo ‘Muzakki’ atau pembayar zakat, beliau berkata ia akan memudahkan umat Islam dalam memilih untuk berurus niaga dengan syarikat yang menjadi pembayar zakat, sekaligus memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk membeli produk muslim.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.