Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Warga Emas Maut Dalam Kebakaran, Dipercayai Terhidu Asap Tebal Ketika Terperangkap Dalam Bilik Air

KUANTAN, 21 Mei (Bernama) — Seorang lelaki warga emas maut, manakala tujuh anggota keluarga termasuk isterinya terselamat dalam kebakaran di sebuah rumah banglo dua tingkat di Kampung Selamat di sini, malam tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata mangsa, Yusuf Hassan, 74, dipercayai maut akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam bilik air ketika kebakaran itu.

Beliau berkata tujuh lagi anggota keluarga termasuk isteri mangsa, Natrah Che Mat, 68, dan empat kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu bagaimanapun selamat, namun sebahagian daripada mereka melecur ringan di beberapa anggota badan.

“Mayat mangsa, ditemukan dalam bilik air tingkat bawah rumah itu. Kebakaran dipercayai bermula sekitar 11.45 malam di tingkat bawah rumah, dengan jumlah kemusnahan dianggarkan sebanyak 40 peratus,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zahar berkata 18 anggota bomba yang diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api pada 12.12 tengah malam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi tujuan bedah siasat.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa