Siakap Keli

Caj Penghantaran Barangan Tidak Jelas Boleh Disiasat Di Bawah KPDNHEP

Penghantar barangan persendirian dan perniagaan atau perkhidmatan pasar dalam talian yang tidak memberi maklumat penghantaran jelas boleh disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan berkata, mereka yang terlibat dalam pembekalan atau perkhidmatan melalui pasar dalam talian hendaklah mendedahkan maklumat yang tepat di halaman perniagaan.

“Maklumat yang perlu dijelaskan adalah nama orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan barang atau perkhidmatan melalui tapak web atau pasar dalam talian, atau nama perniagaan atau nama syarikat.

“Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat (jika terpakai), serta alamat emel dan nombor telefon, atau orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan barangan atau perkhidmatan melalui tapak web atau pasar dalam talian,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, maklumat seterusnya adalah perihalan tentang ciri utama barang atau perkhidmatan tersebut.

Selain itu, harga penuh barang atau perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain juga perlu dinyatakan.

“Maklumat lain adalah terma-terma dan syarat-syarat serta anggaran masa penghantaran barang atau perkhidmatan kepada pembeli,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, mana-mana pengendali pasar dalam talian hendaklah menyelenggara rekod nama, nombor telefon dan alamat orang yang membekalkan barang dan perkhidmatan dalam pasar dalam talian bagi tempoh dua tahun.

Difahamkan, urus niaga secara perdagangan elektronik tersebut dikawal selia oleh KPDNHEP di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Mengulas lanjut, KPDNHEP menegaskan, sebarang pelanggaran di bawah peruntukan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM250,000, atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Pengguna yang keliru berhubung sebarang maklumat harga penuh barang dan perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi kesalahan gambaran mengelirukan mengenai harga dan pengiklanan umpanan.

Maklumat palsu & mengelirukan

Sementara itu, tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil ke atas sebarang pernyataan palsu atau mengelirukan tentang perkhidmatan atau dalam iklan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika individu perseorangan didapati berbuat demikian, hukuman denda boleh dikenakan iaitu tidak melebihi RM250,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-keduanya.

“Manakala bagi pertubuhan perbadanan yang didapati melakukan kesalahan ini, hukuman denda boleh dikenakan iaitu tidak melebihi RM500,000 dan jika kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000,” jelas kenyataan tersebut.

Justeru itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui portal E-Aduan https://e-aduan.kpdnhep.gov.my/, pusat panggilan 1-800-886-800, emel [email protected], aplikasi Ez Adu KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp ke 019-2794317.

Difahamkan, kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran laporan di sebuah laman berita hari ini yang melaporkan tentang ketidakpuashatian seorang pengguna terhadap caj penghantaran makanan yang didakwa terlalu tinggi.

Sumber: KPDNHEP

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'