Siakap Keli
Pesawat pakistan PIA terhempas
Gambar: Bloomberg

Insiden Pesawat Penumpang Pakistan Terhempas, Tiada Yang Terselamat- Datuk Bandar Karachi

Karachi, 22 Mei- Datuk Bandar Karachi, Waseem Akhtar mendakwa tiada yang terselamat dalam tragedi pesawat Pakistan International Airlines (PIA) sebentar tadi, lapor Sky News.

Pesawat Airbus A320 yang membawa 107 penumpang itu dilaporkan terhempas di kawasan penempatan di bandar tersebut ketika dalam perjalanan dari Lahore, Pakistan.

“Terakhir kami dengar dari juruterbang ialah dia mengalami masalah teknikal,” kata jurucakap PIA, Abdullah H Khan menurut laporan Sky News.

“Ia merupakan peristiwa yang tragik.”

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menzahirkan rasa sedih dan terkejut atas kejadian itu.

“Terkejut dan sedih dengan kemalangan PIA. Siasatan segera akan dilaksanakan. Takziah buat semua keluarga mangsa terkorban,” tulisnya.

Sementara itu, jumlah kematian dikhuatiri lebih tinggi berikutan lokasi kejadian yang menimpa rumah penduduk awam di kawasan tersebut.

Pasukan Ketenteraan Pakistan turut menggunakan helikopter untuk operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Menurut saksi, Abdul Rahman, pesawat tersebut kelihatan cuba mendarat dua atau tiga kali sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah.

Lapor Sky News, ketua jurutera PIA telah menandatangani sijil pengesahan penyelenggaraan pada 28 April, mendakwa pesawat itu memenuhi semua standard keselamatan dan selamat untuk terbang.

Pegawai penerbangan kanan awam mendakwa pesawat itu berkemungkinan tidak dapat menurunkan gear pendaratan disebabkan masalah teknikal, namun mengakui masih awal untuk mengesahkan punca sebenar kejadian.

Sumber: Sky News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.