Siakap Keli
Foto: Bernama

Lelaki Maut Dalam Kebakaran Di Ipoh

IPOH, 22 Mei – Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Lebuh Parajurit 3, Ipoh Garden East di sini, pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Mohamad Yunus Abu berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu mayat M.Paramanandan, 44, ditemukan dengan kesan terbakar 60 peratus di bilik utama di tingkat atas rumah berkenaan.

“Kebakaran hanya melibatkan bilik mangsa dan dia ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kesan terbakar di bahagian belakang badan manakala seorang lagi penghuni lelaki yang berada di tingkat bawah rumah dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian, didapati pintu bilik itu berkunci dan pihak kami terpaksa bertindak memecahkan pintu berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.

Mohamad Yunus berkata, 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh terlibat dalam operasi berkenaan. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang