Siakap Keli

Pembukaan Semula Kedai Gunting Rambut Di Pulau Pinang Sedang Dibincangkan

GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) — Kerajaan Pulau Pinang masih membincangkan kemungkinan membuka semula salun rambut dan kedai gunting rambut, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo.
Katanya, walaupun kerajaan negeri baru-baru ini mengizinkan makan di premis restoran semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia dilaksanakan dengan kerjasama dan garis panduan yang ketat.

Walaupun kerajaan negeri berharap dapat menggiatkan kembali ekonomi yang terjejas, perjuangan melawan COVID-19 masih lama lagi untuk berakhir dan langkah berjaga-jaga kekal menjadi keutamaan katanya.

“Berhubung pembukaan semula salun rambut dan kedai gunting rambut, telah dibincangkan mengenainya bersama-sama dengan sektor lain (yang tidak dibuka semula semasa PKPB), tetapi perlu ada tindakan bagi keseimbangan antara (pemulihan) ekonomi dan keselamatan orang ramai

“Kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja keputusan dibuat,” katanya dalam sidang media di pangsapuri Villa Mas Ewani di sini, hari ini.

Terdahulu, Jagdeep meluluskan dana untuk penggantian tangki air di Villa Mas Ewani di bawah Dana Penyelenggaraan Maksimum 80 peratus (TPM80PP) negeri.

Katanya, kerja penggantian akan bermula pada 3 Jun dan dijangka siap pada 11 Ogos tahun ini.

“Projek penyelenggaraan ini berharga RM67,800 dan kerajaan negeri akan menanggung 80 peratus daripadanya, iaitu RM54,240,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 87 permohonan untuk TPM80PP masih dalam proses penilaian dan persetujuan teknikal.

“Keseluruhan kos projek untuk 87 permohonan itu adalah RM16.26 juta,” katanya.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang