Siakap Keli

Topeng Muka Mahal: Hospital Swasta Dikompaun RM200,000

PUTRAJAYA, 22 Mei  — Sebuah hospital swasta dikompaun RM200,000 kerana menjual topeng muka tiga lapisan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyatakan, kompaun itu ditawarkan kepada hospital berkenaan hari ini, ekoran tindakannya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, pihak hospital akan dituduh di mahkamah, menurut kenyataan itu.

Ekoran tular isu pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta yang telah dikenakan caj sebanyak RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan yang digunakan oleh jururawat ketika merawat pesakit itu, KPDNHEP pada 13 Mei telah melakukan pemeriksaan ke atas hospital berkenaan, serta menyoal siasat pengurusan hospital.

Jumlah tersebut bersamaan dengan RM11.20 sekeping, sedangkan harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM1.50 sekeping.

Turut dirampas ialah sejumlah dokumen termasuk topeng muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan, untuk tujuan siasatan.

“KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan topeng muka mudah diperolehi pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan,” kata kementerian itu.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul