Siakap Keli
potong bawang menangis
Kredit: Google

(Video) Elak ‘Menangis’ Ketika Potong Bawang, Ikut “Steps” Mudah Ini

“Dah kenapa nangis sorang-sorang kat dapur ni Timah? Kau ada masalah ke?” Tanya Milah.

“Taklah, bawang ni haa..” jawab si Timah, mengangkat bawang merah yang baru separuh dipotong sambil mengesat air mata.

Kalau anda hadapi nasib macam si Timah, tips-tips ini penting untuk anda tahu sebelum ‘berhadapan’ dengan bawang-bawang di dapur menjelang hari raya ini.

Pertamanya, fakta penting yang perlu kita tahu ialah punca mata menjadi pedih ketika mengupas atau memotong bawang.

Untuk pengetahuan anda, bawang akan membebaskan enzim semasa dipotong. Enzim inilah yang membuatkan mata kita menjadi pedih. Jadi, untuk minimakan pembebasan enzim, anda boleh ikut langkah berikut;

1. Guna pisau yang betul-betul tajam

Lebih banyak enzim akan terbebas dalam proses menumbuk atau memotong bawang dengan objek/pisau tumpul berbanding memotongnya menggunakan pisau tajam. Jadi, dengan pisau tajam, anda boleh kurangkan pembebasan enzim ke udara.

3. Kupas bawang di dalam air

Dengan mengupas bawang di dalam sebekas air, anda akan memerangkap enzim dari tersebar di udara dan menyebabkan iritasi pada mata.

Namun, cara ini sesuai untuk mengupas bawang sahaja kerana bawang yang dihiris akan terapung dan menyukarkan anda untuk memotongnya. Malah, ia akan menyebabkan bawang menjadi agak licin.

3. Potong berhampiran kipas, tingkap atau ventilator dapur

Bagi menghindari enzim yang terbebas ke udara, anda dinasihatkan untuk memotong atau mengupas bawang di tempat yang mempunyai pengaliran udara seperti kipas, tingkap atau ventilator. Jika anda gunakan kipas, pastikan anginnya menghala ke arah yang betul agar dapat membawa enzim terampai di udara pergi jauh dari anda.

Anda juga boleh ‘membawang’ di tempat yang terbuka agar enzim di dalam bawang diterbangkan angin jauh dari mata anda.

4. Salut pisau dengan perahan lemon atau cuka

Asid di dalam perahan lemon atau cuka boleh menyahaslikan (denature) enzim yang terkandung di dalam bawang. Dengan menyalut pisau atau papan pemotong dengan larutan berasid, anda dapat mengurangkan iritasi disebabkan enzim dan dapat memotong bawang dengan lebih mudah.

*Namun, cara ini mungkin memberi kesan kepada rasa bawang.

5. Halakan bahagian terdedah jauh dari anda

Sebaik sahaja anda potong bawang kepada dua bahagian, halakan kedua-duanya terlekap pada papan pemotong. Selain itu, letakkan bawang yang telah dipotong atau dihiris ke dalam bekas dan letak jauh sedikit dari anda sebelum memotong bawang seterusnya.

6. Sejukkan di dalam peti ais

Akhir sekali, simpan sekejap bawang di dalam peti ais selama kira-kira 20 minit.

Bila anda sejukkan bawang (jangan bekukan untuk elakkan tekstur berubah), pembebasan enzim dapat dikurangkan tanpa menjejaskan rasanya. Pun begitu, elakkan meletak bawang berhampiran epal atau kentang atau meletakkannya dalam tempoh yang lama bagi mengelakkan peti ais berbau.

Cara ini dikatakan terbukti berkesan untuk mengurangkan iritasi disebabkan enzim yang terampai di dalam udara.

Lepasni, tak perlu ‘bersedih’ lagi ya bila nak masak rendang atau sambal. Guna je tips-tips ni dan masalah anda akan selesai.

Sumber: WikiHow, The Kitchn, Dewan Bahasa Dan Pustaka

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.