Siakap Keli

(Video) Menyentuh Hati, Ibu Anjing Korek Semula Kubur, Cuba ‘Kejutkan’ Anaknya Yang Telah Mati

Satu rakaman menyedihkan telah memaparkan seekor anjing berusaha ‘mengembalikan’ anaknya dengan menggali kuburnya undang sebak.

Anjing baka campuran Labrador yang berusia tiga tahun bernama Kookie, difahamkan telah melahirkan anaknya itu pada petang Ahad di Zamboanga, Filipina. Malangnya salah seekor anaknya itu tidak dapat bertahan pada malam tersebut dan telah mati.

Pemilik anjing tersebut, Kaye de Luna serta keluarganya telah terjaga disebabkan salakan Kookie pada keesokan paginya untuk memberitahu kepada tuannya itu bahawa salah seekor daripada anaknya telah mati.

Bagi membolehkan Kookie memberikan penghormatan terakhir untuk anaknya itu, De Luna telah mengebumikan anak Kookie di kubur yang tak bertanda terletak di kebun mereka.

Pun begitu, beberapa jam kemudiannya ketika mereka membawa Kookie untuk bersiar-siar, Kookie telah berlari ke arah kubur anaknya itu dan menggalinya dengan panik.

Rakaman video tersebut menunjukkan ibu kepada anak anjing yang telah mati itu berusaha untuk mengembalikan anaknya yang telah pun dikebumikan.

Selepas berjaya mengalihkan tanah yang telah menimbusi anaknya itu, Kookie berjaya mengeluarkannya dengan menggunakan mulutnya.

De Luna menyatakan: “Kali pertama Kookie bunting, dia telah keguguran. Kini, seekor daripada anaknya telah mati. Dia pastinya sedih.

“Sangat menyedihkan untuknya. Kami dapat melihat betapa sayangnya dia kepada anak-anaknya. Walaupun telah mati, dia masih lagi tidak berhenti memikirkannya.”

Dalam video tersebut, Kookie menjilat-jilat dan menggoyang-goyangkan badan anaknya dengan harapan dapat menghidupkannya semula, namun usahanya itu tidak berhasil.

Tuannya yang merakam insiden tersebut dapat didengar turut bersedih melihat detik yang menyedihkan itu.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa