Siakap Keli

Patuhi SOP Kedai Makan Atau Berdepan Tindakan – Timbalan MB

KOTA BHARU, 27 Mei  — Pengusaha kedai makan di Kelantan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan negeri itu membenarkan pelanggan makan di dalam kedai bermula hari ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata jika tidak mematuhi atau gagal berbuat demikian, pengusaha kedai makan boleh dikenakan tindakan.

“Kita tangguhkan kebenaran sehingga ke hari ini kerana menghormati bulan puasa. Kebenaran diberikan bermula tujuh pagi sehingga 10 malam setiap hari tetapi mestilah mematuhi SOP jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri merasakan tempoh terlalu singkat iaitu dibuka pukul 3 petang dan berakhir pukul 8 malam dan lebih baik tangguh sehingga berakhirnya puasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran, membabitkan tiga keluarga di Taman JPN, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri akan membantu tiga keluarga berkenaan melalui Tabung Serambi Mekah.

Sumber:  BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul