Siakap Keli

Penoreh Getah Ditahan Bersama Senapang, 360 Butir Peluru Dan Haiwan Eksotik

GERIK, 27 Mei — Polis menahan seorang penoreh getah dan merampas dua laras senapang, 360 butir peluru, empat kilogram daging kijang bernilai RM400 serta seekor burung murai batu di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata lelaki berumur 34 tahun tersebut ditahan dalam satu serbuan Ops Khazanah oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik bersama Jabatan Perhilitan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada kira-kira pukul 7 petang.

Katanya senjata api buatan sendiri itu ditemui disembunyikan di dalam bilik air di rumah itu, daging kijang ditemukan di dalam peti sejuk beku manakala burung murai batu yang mempunyai nilai pasaran antara RM1,000 hingga RM3,000 disimpan di dalam sangkar.

“Lelaki itu kini direman selama tiga hari mulai 26 Mei,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan 8(b) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senapang patah buatan sendiri tanpa lesen yang sah dan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kes itu turut disiasat oleh Jabatan Perhilitan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu/menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi dan menyimpan mana-mana bahagian hidupan liar yang dilindungi, yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha