Siakap Keli

Elak Penularan COVID-19 Ikut 6 Tips Lindungi Keluarga Sepanjang Sambutan Hari Raya

Rakyat Malaysia menyambut Hari Raya dengan norma dan cara yang baharu. Walaupun ada ahli keluarga yang tidak dapat berkumpul bersama, Hari Raya Aidilfitri masih disambut walaupun dengan cara sederhana. Namun kemeriahanya masih dapat dirasai walaupun tidak semeriah seperti perayaan tahun sebelum.

Walau bagaimanapun, negara kita masih lagi berjuang dalam menentang penularan COVID-19. Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu memastikan keadaan sekeliling selamat dari wabak berbahaya ini. Ikuti perkongsian helloDOKTOR yang memberikan tips lindung keluarga sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Pada hari ke-3 sambutan hari raya yang lalu, kita digemparkan dengan kenaikan kes wabak virus korona baharu (COVID-19) kepada 3 angka. Walaupun majoriti daripada jumlah kes yang dilaporkan berlaku dalam kalangan warga asing, namun ia bukanlah satu khabar gembira. Apatah lagi ia berlaku di kala kita sedang sibuk dengan sambutan hari raya Aidilfitri.

Bukan senang untuk kita terapkan konsep norma baharu ketika menyambut perayaan yang sering digambarkan dengan dua individu bersalam memohon kemaafan. Bahkan juga, seperti yang anda boleh lihat melalui kebanyakan gambar di media sosial, amalan jarak sosial tidak lagi diamalkan semasa sambutan hari raya berlangsung. Pasti terdetik soalan bagaimana cara untuk menyambut perayaan ini dengan selamat kan?

Di sini, penulis ingin kongsikan beberapa tip untuk melindungi diri anda daripada jangkitan COVID sepanjang sambutan hari raya Aidilfitri.

#1 Elakkan daripada bersalaman. Basuh tangan anda sekerap mungkin

Banyak yang kita tidak tahu berkaitan dengan wabak yang melanda namun ia jelas tersebar melalui titisan air ketika bersin/batuk dan sentuhan dengan objek tercemar. Oleh sebab kuman bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar, tindakan bijak yang boleh diambil adalah dengan tidak bersalam dan basuh tangan sekerap mungkin.

Perkara ini turut disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan kepentingan mencuci tangan. Lebih baik jika anda tidak menerima tetamu,, namun jika perkara tersebut tidak dapat dielakkan, sediakan hand sanitiser bagi memastikan amalan cuci tangan turut diambil serius oleh tetamu yang hadir.

#2 Jangan membuta tuli ikut saranan tidak lebih daripada 20 orang tetamu semasa sambutan hari raya

Apa yang penulis cuba sampaikan adalah bukan untuk membenarkan lebih daripada jumlah tersebut. Adalah lebih selamat jika kita elakkan daripada menghuni 10 orang (termasuk ahli keluarga) dalam satu rumah. Walaupun kerajaan membenarkan maksimum 20 orang dalam satu rumah semasa hari pertama sambutan hari raya, namun penjarakan sosial sukar untuk dilaksana dalam situasi tersebut.

Perkara ini telah ditekankan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Dr Halimatus Sakdiah Minhat. Bahkan, adalah lebih ideal jika anda tidak menerima sebarang tetamu sepanjang sebulan sambutan hari raya Aidilfitri.

#3 Ada simptom? Jangan menggatal nak keluar beraya

Jika anda mempunyai simptom, walaupun berbekalkan topeng muka sekalipun anda boleh memberikan risiko jangkitan kepada penghuni rumah (tidak kira sekecil mana). Tujuan pemakaiannya adalah untuk melindungi namun tidak selalunya menghindari jangkitan daripada tersebar.

Perkara ini terutamanya bagi mereka yang tidak memakai topeng muka dengan betul. Jika anda mempunyai ahli keluarga yang dijangkiti, jangan keluar dari rumah. Oleh sebab majoriti mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom, anda berisiko untuk menjadi penyebar virus dalam diam.

#4 Sambutan hari raya di atas talian, lindungi orang tersayang

Jangan mengingkari larangan untuk merentas negeri sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya untuk beraya. Ingat, di kampung, ibu bapa serta golongan tua yang lain berisiko untuk mendapat jangkitan teruk sekiranya positif. Apa yang anda boleh buat sepanjang beraya di bandar adalah menggunakan media sosial dan aplikasi komunikasi atas talian seperti Skype, Zoom dan sebagainya.

Adalah lebih baik jika kita tidak merasai kehangatan musim perayaan demi melindungi keluarga di kampung daripada jangkitan COVID-19.

#5 Sediakan makanan berkhasiat untuk seisi keluarga sepanjang sambutan hari raya

Sambutan hari raya sememangnya sinonim dengan pelbagai aneka juadah yang mengiurkan. Namun begitu, suka ataupun tidak, kebanyakan daripada makanan tersebut mengandungi jumlah gula tinggi dengan kandungan serat rendah.

Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan pada pelbagai jenis masalah kesihatan, termasuklah jangkitan COVID-19. Sistem imun badan kita sememangnya boleh dipengaruhi dengan tabiat pemakanan. Jika khasiat pemakanan tidak diambil dengan kadar yang betul, badan anda tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk melawan jangkitan kuman.

#6 Guna kaedah moden untuk beri duit raya

Walaupun penerimaan duit raya melalui bank online membuatkan kehangatan Aidilfitri itu tidak terasa, ia merupakan salah satu langkah selamat yang boleh dipraktikkan oleh segenap manusia. Jika dilihat pada konteks kerisauan penduduk global, keputusan carian berkaitan dengan penyebaran COVID-19 melalui wang kertas berada pada tahap yang tinggi.

Terdapat pelbagai jenis laporan kajian yang menunjukkan jangka hayat virus korona baharu di luar badan manusia. Apa yang lebih menakutkan, ada yang menyatakan virus tersebut berkemungkinan hidup maksimum 9 hari pada permukaan tertentu. Wang kertas disentuh oleh pelbagai individu dan jika mereka menggunakan sarung tangan, risiko jangkitan masih ada (malah boleh jadi lebih tinggi).

Penyelesaiannya? Guna bank online untuk hantar duit raya. Jika anak kecil tiada duit raya, hantar pada bank ibu bapa mereka. Pastikan anda tulis dengan jelas “duit raya” pada rujukan supaya tidak terkeliru dengan duit lain.

Konklusi

Sambutan hari raya sepanjang musim wabak virus korona baharu mungkin kelihatan hambar. Namun begitu, ia tidak bermakna anda tidak boleh mencari alternatif untuk merasai kehangatan sambutan perayaan tersebut. Dalam apa jua aspek yang ditekankan, kunci kepada kesejahteraan masyarakat sekeliling adalah penjarakan sosial.

Jangan lupa untuk berwaspada dengan apa yang anda makan sepanjang bulan Syawal. 

Sumber: helloDOKTOR

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.