Siakap Keli

Kawasan Rekreasi Bukit Besar Ditutup, Elak Penularan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 28 Mei — Kawasan rekreasi Bukit Besar, yang menjadi tumpuan ramai bagi aktiviti kecergasan, di sini, akan ditutup kepada orang awam pada 29 dan 30 Mei bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A. Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil ekoran kebanjiran pengunjung di kawasan tersebut walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Daripada tinjauan dan pemerhatian pihak kami, setelah selesai bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri, semakin ramai yang mengunjungi kawasan berkenaan walaupun dalam tempoh PKPB.

“Mengambil langkah proaktif mengekang penularan wabak COVID-19, pihak sekretariat ingin memaklumkan kawasan Bukit Besar sama ada laluan utama (jalan berturap) atau denai (bahagian tepi bukit) ditutup kepada orang ramai bagi mengelak kebanjiran pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memantau perkembangan di kawasan tersebut dari semasa ke semasa dan jika didapati jumlah pengunjung semakin ramai, tempoh penutupan akan dilanjutkan sehingga suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan rekreasi dan aktiviti kecergasan yang ditetapkan dalam tempoh PKPB seperti menjalankan aktiviti secara individu atau kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang dengan amalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup separuh muka,” katanya.

Sumber : Bernama

Nurul Najiha