Siakap Keli

Pelajar Balik Kampung Kerana COVID-19 & Banyak Fasiliti Universiti Tidak Digunakan, MPPK Cadang Yuran IPT Dikaji Semula

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mencadangkan agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula kadar caj yuran pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, hal tersebut dibangkitkan berikutan arahan yang dikeluarkan KPT agar sesi pengajaran dan pembelajaran di IPT dijalankan secara atas talian sehingga 31 Disember tahun ini.

“Hal ini diambil kira dari segi fasiliti yang tidak digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa memandangkan hampir 80 peratus mahasiswa sudah kembali ke kampung halaman dan tidak menggunakan fasiliti universiti sepenuhnya.

“Lebih-lebih lagi berkenaan yuran pengajian dan yuran kolej kediaman, kami di pihak MPPK berharap Yang Amat Berhormat Menteri KPT dapat meneliti serta mempertimbangkan hasrat yang diutarakan demi kelangsungan mahasiswa di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di Facebook MPPK, hari ini.

Dalam pada itu, Amir Asyraf menambah, terdapat beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPT telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu yuran pengajian ke universiti masing-masing namun masih belum ada tindakan selanjutnya.

“Begitu juga dengan segelintir universiti yang memilih untuk tidak mahu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berbangkit ini.

“Oleh itu, kami memohon agar pihak KPT menyelaraskan satu garis panduan atau saranan bagi pihak IPT di seluruh negara bagi menangani isu yuran ini,” jelasnya lagi.

Isu akses internet percuma

Sementara itu, Amir turut mengutarakan isu mengenai pemberian data internet percuma kepada pihak universiti oleh syarikat telekomunikasi dalam memastikan sesi pengajian atas talian berjalan dengan lancar.

“Namun, masih terdapat beberapa buah universiti yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara ini sehinggakan proses pembelajaran dalam talian agak terganggu seperti jaringan Wifi yang terlalu perlahan, tidak dapat mengakses pembelajaran dalam talian yang mencukupi dan sebagainya.

“Justeru, MPPK juga mohon pihak KPT memandang serius perkara ini agar ianyta dapat diselesaikan dan masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

“Perlu diingat bahawa kebajikan pelajar adalah tanggungjawab utama bagi setiap pengurusan universiti yang telah diamanahkan oleh pihak kerajaan dalam memacu tahap akademik tertinggi di negara ini,” tambahnya lagi.

Sumber: MPPK

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.