Gambar: BERNAMA

Peniaga Dikompaun RM10,000 Jual Pelitup Separuh Muka Lebihi Harga Kawalan

KOTA TINGGI, 28 Mei — Seorang peniaga di daerah ini dikompaun RM10,000 kerana menjual pelitup separuh muka tiga lapisan melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Kota Tinggi Rasul Ismail berkata peniaga terbabit diambil tindakan susulan aduan orang ramai mengenai penjualan pelitup separuh muka pada harga RM2 seunit berbanding RM1.50 yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sebaik membuat pemeriksaan, kompaun RM10,000 serta-merta dikeluarkan kepada peniaga terbabit dan semua pelitup separuh muka berkenaan disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat, sebanyak tujuh tindakan diambil pihaknya menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan kawalan selain ada yang menjual melebihi harga yang ditetapkan kerajaan, katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyiasat dua kes mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memberi maklumat mengelirukan berkaitan harga.

Sumber: BERNAMA

Dari Wiser.my