Siakap Keli

“Sejak Bermulanya PKPB, Penularan COVID-19 Di Kalangan Masyarakat Makin Bekurang” – KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan 10 kes baharu dengan 1,345 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

Menurut kenyataan tersebut, 10 kes baharu yang dilaporkan adalah penularan tempatan, di mana lima (5) kes adalah bukan warganegara Malaysia.

KKM dalam pada itu mengakui pelaksanaan PKPB di Malaysia sejak hampir sebulan lalu telah memberi impak positif dalam penularan wabak COVID-19.

Sejak hampir sebulan penguatkuasaan PKPB di negara kita, didapati jumlah kes positif COVID-19 dari 4 Mei 2020 sehingga 27 Mei 2020 adalah 1,189 kes. Daripada jumlah ini, kes di kalangan warganegara Malaysia adalah hanya 22.7 peratus iaitu 270 kes, manakala 77.3 peratus pula melibatkan kes bukan warganegara iaitu 919 kes (termasuk 383 kes bukan warganegara di dalam tiga (3) buah Depot Tahanan Imigresen).

Sejak bermulanya PKPB, didapati tren penularan COVID-19 di kalangan masyarakat setempat adalah semakin berkurangan dari minggu sebelumnya. Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan kepatuhan orang ramai kepada nasihat, saranan dan SOP Kerajaan, serta juga aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi Kerajaan.

Justeru, KKM ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama Kerajaan demi kepentingan komuniti dan Negara. Sekiranya usaha-usaha ini diteruskan oleh semua dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, pastinya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 di Malaysia.

Sumber: Ketua Pengarah Kesihatan, KKM

Nur Farra