Siakap Keli

Semua PATI Di Tiga Depo Tahanan Selesai Jalani Saringan, 1 Kakitangan Didapati Positif

Seramai 4,399 pendatang asing tanpa izin (PATI) di tiga depo tahanan imigresen telah selesai menjalani ujian saringan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, saringan tersebut melibatkan semua PATI di depo tahanan Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

“Didapati hanya 13 lagi yang masih menunggu laporan kesihatan, yang lain telah disaring dan telah dapat keputusannya.

“Sehingga 27 Mei semalam, daripada keseluruhan 4,399 tersebut, 354 PATI dari tiga depo itu didapati positif dan telah dihantar ke MAEPS untuk dirawat, iaitu 305 dari Bukit Jalil, 45 dari Semenyih dan empat dari KLIA (Sepang),” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menambah, selain daripada PATI, seluruh pegawai dan kakitangan serta yang berkaitan seperti pembekal makanan di tiga depo tahanan tersebut turut disaringkan.

“Kita telah pun menyaring seramai 353 kakitangan dan mereka yang berkaitan dengan tiga pusat depo tahanan tadi, didapati satu (1) kakitangan positif, yang lain semuanya negatif,” katanya lagi.

Ismail menjelaskan, seramai 370 PATI telah menerima rawatan di pusat kuarantin dan rawatan MAEPS sejak ia dibuka dan 16 daripadanya sudah discaj.

PATI yang didapati negatif akan dihantar semula ke negara asal mereka melalui usahasama dengan kedutaan.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit ke-19.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.