Siakap Keli

COVID-19 : 611 Kes Baharu Jadikan Kes Keseluruhan Singapura Cecah 33,860

SINGAPURA, 29 Mei  — Singapura dalam laporan awalnya mengesahkan 611 kes baharu COVID-19 hari ini, dengan hanya tiga kes melibatkan rakyat Singapura atau pemastautin tetap, menjadikan jumlah mereka yang terkena jangkitan kepada 33,860.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan berkata bahawa data tengah hari itu menunjukkan majoriti dijangkiti adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Kementerian itu berkata ia sedang menyediakan perincian kes dan laporan yang dikemas kini akan dikeluarkan  lewat hari ini.

Dalam laporan penuh lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,674 sebagai kes komuniti, 580 kes dari luar dan 30,995 adalah pekerja asing tinggal di asrama.

Singapura yang mengumumkan ia telah mengkaji semula kriteria discaj bagi pesakit COVID-19, menyaksikan 1,018 lagi kes jangkitan COVID-19 didiscaj daripada hospital dan fasiliti isolasi komuniti.

Kesemuanya, 18,294 sudah pulih sepenuhnya atau kira-kira 55 peratus daripada 33,249 jumlah keseluruhan kes pada Khamis.

Semakan semula itu akan menyaksikan mereka yang dinilaikan secara klinikalnya sihat menjelang hari ke-21 jangkitan bermula, didiscaj tanpa perlu menjalani ujian lanjut “polymerase chain reaction” (PCR).

Setakat Khamis, kementerian itu berkata 14,422 pesakit yang bergejala ringan, atau secara klinikalnya baik tetapi masih lagi positif COVID-19 dalam ujian, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Justeru, setakat ini 510 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan tujuh daripada mereka dalam unit rawatan rapi sementara 23 lagi meninggal dunia.

Bagi sebuah kluster baharu, dua lagi dikenal pasti semalam, masing-masing melibatkan asrama di 15, Jalan Kaki Bukit dan 31, Kranji Crescent.

Kluster terbesar republik itu, S11 Dormitory@ Punggol dengan 2,685 jumlah kes sementara asrama terbesar Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500 Old Choa Chu Kang Road mempunyai 1,966 jumlah kes.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa